Impian Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu semakin hampir menjadi kenyataan dan pemimpin utama Pakatan Harapan nampaknya semakin geli-geli untuk memegang tampuk pemerintahan sekali lagi.
Ketika ini, Anwar mungkin sudah merencana barisan Kabinet yang mantap ke arah untuk menyelamatkan negara dengan membariskan tokoh-tokoh yang disegani dalam blok pembangkang seperti Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dan Datuk Seri Shafie Apdal.
Selain itu, nama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku anak murid Anwar yang setia dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku pelobi utama dalam menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pasti akan menjadi pertimbangan Presiden PKR tersebut.
Agenda Daily memberi gambaran awal ‘Kabinet Anwar’ yang akan dibentuk melibatkan pemimpin utama blok pembangkang termasuk Zahid dan Najib, gandingan mantap yang disebut-sebut bakal menyelamatkan negara dalam krisis pandemik ketika ini.
Perdana Menteri, portfolio Menteri Kewangan – Anwar
Jawatan nombor satu yang selama ini menjadi idaman Anwar, ia mustahil akan diberikan kepada individu lain yang lebih layak selain Anwar dan dikatakan bakal mengekalkan portfolio lamanya semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Menteri Kewangan.
Portfolio tersebut paling penting memandangkan Menteri Kewangan akan menguruskan segala urusan berkaitan keluar dan masuk wang kerajaan, ketika era pentadbiran Barisan Nasional (BN) umum mengetahui bagaimana Najib mengekalkan kuasanya semasa memegang portfolio tersebut.
Anwar pasti memilih untuk memegang portfolio tersebut bagi memastikan pengaruh dan kuasa berada dibawah telunjuknya.
Timbalan Perdana Menteri 1, portfolio Menteri Undang-Undang dan Parlimen – Zahid
Bagi membalas jasa dan tanda penghargaan kepada Zahid yang setia serta dilihat pencatur utama dalam menjatuhkan kerajaan PN, jawatan kedua tertinggi ini perlu diberikan kepada anak muridnya.
Walaupun umum mengetahui pelbagai skandal serta kontroversi salah guna kuasa terpalit dengan Presiden UMNO tersebut, tiada pilihan lain selain Anwar perlu melantik anak muridnya itu sebagai Menteri Undang-Undang dan Parlimen.
Portofolio yang dijangka diberikan kepada Zahid pastinya berkaitan Undang-Undang dan Parlimen memandangkan ia dapat membantunya dalam mengendalikan kes-kes mahkamah yang sedang dihadapinya disamping dapat mengelak berdepan hukuman penjara sekiranya didapati bersalah.
Sebagai Menteri Undang-Undang dan Parlimen, Zahid akan dapat mengawal badan perundangan negara dan boleh menjadi ‘gate keeper’ atau penjaga kepada kerajaan Anwar sekiranya diserang atau dipersoalkan keabsahannya.
Timbalan Perdana Menteri 2, portfolio Menteri Ekonomi – Guan Eng
Anwar perlu memberikan jawatan kedua tertinggi kerajaan kepada Setiausaha Agung DAP tersebut ia memandangkan parti tersebut memiliki 42 Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat, komposisi terbanyak dalam kerajaan yang bakal dibentuk oleh Anwar.
Ia perkara wajib dilakukan Anwar sekiranya mahu kekal mendapat sokongan DAP, tawaran jawatan tersebut akan mengekalkan kesetiaan parti tersebut kepada Anwar, malah Guan Eng juga mempunyai pengalaman sebagai Menteri Kewangan sebelum ini semasa era pentadbiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Selain itu, Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang mempunyai pengalaman dalam menarik pelaburan, ia terbukti dengan projek terowong yang berjaya menarik pelabur dari China ke negeri Pulau Pinang.
Cuma, projek tersebut tidak diteruskan dan sebaliknya Guan Eng kini sedang berdepan kes mahkamah berkaitan projek tersebut.
Menteri Senior, portfolio Menteri Pendidikan – Mat Sabu
Walaupun kurang menyerlah semasa menerajui Kementerian Pertahanan sebelum ini, Mat Sabu mungkin akan diangkat Anwar sebagai Menteri Pendidikan sebagai balasan terhadap kesetiaannya untuk kekal bersama dan sanggup meninggalkan Dr Mahathir yang kini tidak lagi memiliki sokongan AMANAH dan DAP.
Anwar yakin dengan kemampuan Mat Sabu untuk membawa era baharu dalam pendidikan negara semasa era pandemik, ia walaupun tidak habis belajar selepas dibuang daripada ITM.
Namun, kejayaannya dalam pentas politik tidak boleh dinafikan dan Mat Sabu pastinya dapat menaikkan motivasi para pelajar untuk mengikut jejaknya, gagal dalam pelajaran tidak semestinya gagal dalam hidup.
Paling tidak pun, kemungkinan ramai pelajar jurusan kulinari yang bertaraf dunia dapat dilahirkan memandangkan kehebatannya dalam bidang masakan. Pasti ramai mengetahui kehebatan kari Mat Sabu.
Cuma pesan Agenda Daily, Mat Sabu perlu mengelak ada skandal dengan pelajar sekolah kerana sebelum ini pernah tersebar klip audio seksi beliau dengan seorang wanita muda.
Menteri Senior, portfolio Menteri Pertahanan – Shafie Apdal
Anwar tidak boleh meminggirkan Presiden Warisan tersebut dalam barisan Kabinetnya jika mahu mendapatkan sokongan Ahli Parlimen dari Sabah dan jawatan Menteri Pertahanan perlu diberikan kepada Shafie.
Bekas Ketua Menteri Sabah tersebut juga memainkan peranan penting dalam menumbangkan kerajaan PN dan bagi memastikan kestabilan kerajaan, Anwar perlu memberi jawatan yang dianggap penting kepada Shafie.
Jawatan Menteri Pertahanan paling sesuai diberikan kepada Shafie memandangkan negara sedang berdepan isu pencerobohan perairan negara di Laut Cina Selatan dan sebagai seorang anak Bajau Laut, pastinya Shafie lebih memahami isu tersebut serta memahami cara untuk mengatasinya.
Dan terakhir, Penasihat Khas Perdana Menteri (PM) – Najib
Dalam memastikan sokongan berterusan dan ampuh terhadap Kabinetnya, peranan Najib tidak boleh dipandang ringan Anwar kerana tanpa sokongan bekas Presiden UMNO itu mustahil langkah menyingkirkan kerajaan PN berjaya direalisasikan.
Situasi kali ini berbeza dengan perjanjian yang pernah dimerterai Anwar dan Najib semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu yang orang tengahnya ketika itu adalah bekas Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla.
Mengapa kali ini berbeza, kali ini Najib memerlukan bantuan Anwar untuk menyelamatkan dirinya dan sama seperti Zahid juga, kedua-dua mereka tidak mahu hidup meringkuk dalam penjara.
Jalan terakhir yang Najib dan Zahid ada sekarang ini hanya bekerjasama dengan Anwar, tiada jalan lain lagi. Apa jadi sekali pun, kepentingan peribadi lebih penting sekarang.
Sebagai balasan, Anwar perlu meletak Najib pada kedudukan selamat atas bantuan yang diberikan dan Penasihat Khas adalah tawaran terbaik yang tidak akan ditolak.
Maka, terbentuklah Kabinet Anwar yang baharu. Tahniah………
Tiada ulasan:
Catat Ulasan