HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Julai 2021

Cabutan bertuah untuk tarik daftar vaksin

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen pembangkang mencadangkan kerajaan memberikan insentif kepada rakyat yang berdaftar untuk program vaksinasi.

Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) berkata, langkah itu sebagai usaha menggalakkan lebih ramai tampil mendaftar dan menerima vaksin.

Katanya, Malaysia mungkin boleh mencontohi beberapa negara luar yang memberikan insentif seperti cabutan bertuah mendapat rumah dan pelbagai hadiah lain.

"Dalam masa yang sama syarikat korporat membantu kerajaan dalam pemberian insentif ini seperti di Hong Kong ada syarikat yang tawarkan rumah sebagai cabutan bertuah kepada mereka yang menerima vaksin,

"Saya tidak nampak apa-apa insentif diberikan kepada mereka yang berdaftar. Saya percaya jika ada insentif, ini dapat menarik 20 peratus mereka yang masih belum berdaftar," katanya pada sesi perbahasan dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, hari ini.

Tze Tzin turut meminta kerajaan menyiasat kes memotong giliran mendapatkan vaksin dan mendakwa ada pemimpin politik berbuat demikian.

"Saya diberitahu ada Ketua Bahagian UMNO memotong 'queue' untuk mendapatkan vaksin yang menafikan hak dan peluang orang lain," katanya turut pertikaikan kecekapan aplikasi MySejahtera

Tze Tzin turut memberikan komitmen akan membantu kerajaan dalam memastikan program vaksinasi terus berjalan, terutama di kawasannya supaya usaha mencapai imuniti kelompok itu dapat dicapai secepat mungkin.

"Seperti di kawasan Parlimen saya, dipastikan membantu proses menghantar warga tempatan mendapatkan vaksinasi.," katanya.

Terdahulu, beliau membangkitkan keperluan untuk kerajaan menyediakan pelan vaksin penggalak seperti dilaksanakan di Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Sudah sampai masanya kerajaan memikirkan perkara itu berikutan pertambahan kes sejak kebelakangan ini," katanya.

Beliau juga meminta kerajaan menyediakan rancangan perlindungan untuk pelajar sekolah yang ketika ini tidak menerima vaksin COVID-19.

"Kita mahu satu pelan perlindungan ini supaya pelajar dapat kembali ke sekolah selepas hampir dua tahun belajar di rumah," katanya.

Tiada ulasan: