HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 Oktober 2021

Aktivis puji tindakan PAS tangkis kontroversi isu arak Timah

Kenyataan Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai hak pengeluar untuk 
menggunakan nama “timah” adalah satu kenyataan yang “masuk akal, 
seimbang dan wajar”, menurut Chandra Muzaffar.

PETALING JAYA: Aktivis sosial Chandra Muzaffar menyambut baik tindakan PAS dalam menangkis kontroversi berhubung penggunaan perkataan “Timah” sebagai jenama arak keluaran syarikat tempatan.

Mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai hak pengeluar untuk menggunakan nama “timah”, Chandra berkata, ia adalah satu kenyataan yang “masuk akal, seimbang dan wajar”.

Bercakap kepada FMT, beliau mengkritik mereka yang “memperbesarkan” perkara itu dan mengatakan pemimpin PAS berkenaan melakukan tugas dengan baik apabila berkata, dalam mendidik masyarakat Islam supaya menjauhi arak, hak bukan Islam untuk meminumnya “juga perlu dilihat”.

Selasa lalu, Tuan Ibrahim dilaporkan berkata, penggunaan perkataan Timah sebagai jenama arak keluaran syarikat tempatan itu “mengelirukan” selain kesal kerana ada pihak menggunakan isu itu untuk menyerang PAS walaupun ia mengambil pendirian tegas.

“Soal jenama dan logo yang boleh mengelirukan, PAS konsisten meminta ia disemak kembali. Nama Timah, bukan nama Islam dan bukan nama manusia,” kata beliau ketika memberitahu Harakahdaily.

Terdahulu, pengurusan pengeluar arak jenama Timah dalam kenyataan di Facebook tampil menjelaskan bahawa perkataan “timah” yang digunakannya merujuk kepada logam timah, bukannya nama singkatan Fatimah yang juga nama anak Nabi Muhammad SAW.

Bagaimanapun, kontroversi berhubung isu itu terus berlanjutan.

Mufti Pulau Pinang Wan Salim Mohd Noor turut mencadangkan arak itu ditukar nama kepada “Captain Speedy” yang merujuk kepada gambar lelaki berjanggut dan slogan “1871 – The Legend of Captain Speedy”.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad pula berkata, beliau akan berbincang Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Dalam Negeri mengenai perkara itu.

Manakala itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) turut membidas tindakan itu kerana menyifatkan penggunaan nama berkenaan menyinggung perasaan umat Islam sambil menggesa penjualannya diharamkan.

Tiada ulasan: