HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 Oktober 2021

Najib, anak dibenar tangguh bayar tunggakan cukai RM1.7 bilion

Hakim Azizah Nawawi membenarkan penangguhan sementara perintah 
pembayaran tunggakan cukai terhadap Najib dan anaknya Mohd Nazifuddin.

PETALING JAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri Najib Razak dan anaknya Mohd Nazifuddin menangguhkan sementara pembayaran tunggakan cukai pendapatan masing-masing lebih RM1.7 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim Azizah Nawawi membenarkan penangguhan sementara berkenaan bagi membolehkan permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran bagi merayu kes tunggakan cukai pendapatan itu didengar dan diputuskan Mahkamah Persekutuan.

“Terdapat keadaan istimewa untuk kami membenarkan penangguhan sementara menunggu pendengaran permohonan rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Selain Azizah, panel hakim yang turut bersidang ialah Che Mohd Ruzima Ghazali dan Gunalan Muniandy.

Awal tahun ini, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk membatalkan penghakiman ringkas yang memerintahkannya membayar tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion, dengan alasan bahawa beliau gagal membuktikan terdapatnya sebarang “keadaan istimewa”.

Sementara itu, di Mahkamah Tinggi lain, Nazifuddin yang juga seorang ahli perniagaan diperintahkan untuk membayar RM36.7 juta cukai yang belum dijelaskan bermula 2011 hingga 2017.

LHDN memfailkan saman terhadap Najib tahun lalu yang menuntut tunggakan cukai berjumlah lebih RM1.69 bilion.

Mereka memperolehi penghakiman ringkas itu dalam tuntutan saman cukai bernilai RM1.69 bilion pada 22 Jul 2020 dan penghakiman itu telah disahkan oleh Mahkamah Rayuan pada Sept.

Penghakiman ringkas itu diperolehi apabila sesebuah mahkamah membuat keputusan terhadap sesuatu kes secara bertulis tanpa menjalani perbicaraan penuh dan memanggil saksi.

Notis kebangkrapan turut difailkan terhadap Najib awal tahun ini selepas beliau gagal membayar RM1.69 bilion seperti yang diperintahkan dalam penghakiman ringkas terbabit.

Nazifuddin turut menerima notis sama pada Mei.

Mereka kemudiannya membawa kes cukai itu ke Mahkamah Persekutuan dalam cubaan untuk membatalkan penghakiman ringkas terbabit.

Najib dan Nazifuddin diwakili peguam Muhammad Shafee Abdullah dan Muhammad Farhan Shafee manakala peguam kanan hasil Hazlina Hussain mewakili LHDN.

Dalam hujahnya sebelum itu, Shafee memberitahu mahkamah bahawa kebenaran penangguhan itu harus dibenarkan dengan alasan terdapatnya keadaan yang istimewa.

“Pelaksanaan penghakiman ringkas itu harus ditangguhkan sehingga kesnya (Najib) didengar di Mahkamah Persekutuan.

“Sekiranya beliau diisytiharkan bankrap, beliau akan kehilangan kerusi Ahli Parlimen Pekan dan tidak boleh bertanding dalam mana-mana pilihan raya,” katanya yang merujuk kepada prosiding kebangkrapan dimulakan oleh LHDN untuk mendapatkan kembali cukai yang belum dijelaskan.

Shafee berkata terdapat unsur berniat jahat (mala fide) di pihak kerajaan yang ingin mengisytiharkan Najib sebagai bankrap.

Sementara itu, Hazlina membantah permohonan mereka itu untuk menangguhkan penghakiman ringkas terbabit dengan alasan bahawa ia telah menjadi sebahagian daripada tanggungjawab pegawai untuk memungut semula hasil cukai.

“Tuduhan pemohon (Najib) yang mengatakan kami berniat jahat dalam melakukan tindakan ini adalah tidak berasas.

“Sekiranya setiap pembayar cukai membawa kes ke mahkamah untuk menangguhkan penghakiman ringkas, ia akan dilihat sebagai berat sebelah,” katanya.

Tiada ulasan: