HALAMAN SANTAI

Selasa, 5 Oktober 2021

Anwar hantar usul bahas pendedahan Pandora Papers

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengemukakan notis usul kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun untuk membahaskan tentang pendedahan Pandora Papers.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson dalam kenyataan di Facebook berkata, usul itu dihantar di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Kata beliau, isu berkenaan perlu dibahaskan dengan segera kerana pendedahan itu telah menyebut beberapa nama besar dalam negara.

“Saya menggesa agar Dewan Rakyat untuk segera membahaskan isu mendesak ini kerana ia telah menyebut beberapa nama besar dalam negara.

“Saya percaya perkara ini juga adalah kepentingan orang ramai kerana ia turut menyebut nama-nama tokoh politik kerajaan dan juga pembangkang. Saya mohon usul ini dipertimbang dan dilulus untuk dibahaskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam notis usul kepada Azhar itu, Anwar berkata, laporan Pandora Papers itu memerlukan penjelasan segera untuk membersihkan nama baik kerajaan Malaysia daripada tohmahan.

Pada masa sama, kata beliau, ia juga bagi menjelaskan dakwaan daripada melindungi mana-mana warganegara Malaysia jika terbabit dalam apa-apa kesalahan transaksi kewangan antarabangsa dan memberi ruang kepada kerajaan serta pihak yang disenaraikan memberikan penjelasan.

“Ini perkara berkenaan dengan kepentingan orang ramai kerana laporan Pandora Papers menyebut nama-nama tokoh politik yang masih menganggotai pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan beberapa Ahli Parlimen.

“Ia boleh memberi gambaran dan persepsi buruk kepada orang ramai jika perkara ini tidak dijelaskan secara telus dan terbuka serta bertanggungjawab,” jelas beliau.

Pagi tadi, media melaporkan beratus pemimpin dunia, ahli politik, hartawan, selebriti, pemimpin agama dan pengedar dadah dilapor menyembunyikan wang serta pelaburan mereka dalam hartanah, kapal persiaran dan aset lain sepanjang 25 tahun lalu.

Ia didedahkan menerusi 12 juta fail yang dimiliki 14 firma serata dunia dikenali sebagai Pandora Papers.

Menurut pendedahan tersebut, dua individu dari Malaysia didakwa antara 336 ahli politik yang memiliki akaun luar pesisir dan terdapat 118 syarikat luar pesisir dengan pemilik berasal dari Malaysia.

Pendedahan itu dilakukan oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) melibatkan 600 wartawan daripada 150 organisasi media di 117 negara.

Tiada ulasan: