HALAMAN SANTAI

Selasa, 5 Oktober 2021

Keanggotaan Idris, Nor Azman dalam UMNO gugur secara automatik – Rauf

UMNO dan Barisan Nasional (BN) Melaka menyerahkan kepada Yang Dipertua Negeri  Tun Mohd. Ali Rustam bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri itu berikutan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diketuai Datuk Seri Idris Haron menarik sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Sulaiman Mohd Ali.

Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh berkata, Perlembagaan negeri memberi hak kepada Yang Dipertua Negeri untuk menentukan sama ada hendak membubarkan DUN atau tidak.

‘’Oleh demikian saya bersama-sama ADUN lain menyerahkan kepada Yang Dipertuan Negeri Melaka untuk menentukan kerajaan negeri selepas ini,’’ katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung oleh Astro Awani.

Abd.Rauf Yusoh bercakap pada sidang media di Melaka hari ini.

Menjawab soalan mengenai kedudukan Idris dan Nor Azman dalam UMNO, Abd.Rauf berkata;

‘’Apabila sudah dinyatakan dalam sidang media secara terbuka mereka bersama-sama dengan parti yang tidak membentuk kerajaan dan mahu meruntuhkan kerajaan ia secara automatik akan tergugur haknya sebagai ahli UMNO,’’ tegasnya.

Kerajaan Melaka diketuai Sulaiman tumbang selepas Idris yang merupakan ADUN Sungai Udang bersama tiga lagi ADUN mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Tiga lagi ADUN yang dilihat hadir pada sidang media mengumumkan perkara itu adalah ADUN Pengkalan Batu Norhizam Hassan Baktee, ADUN Telok Mas Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan.

Mengulas lanjut, Abd.Rauf berkata, Melaka baru sahaja beralih ke Fasa 3 PPN dan seharusnya tidak diberikan tekanan politik kerana kerajaan negeri ingin melestarikan rakyat dalam keharmonian untuk menempuh gaya hidup baru selepas pandemik Covid-19.

‘’Saya juga melihat usaha kerajaan negeri untuk membantu meleraikan masalah Covid berjalan tetapi malangnya kita menerima tekanan politik yang atas hilang kepercayaan oleh keempat-empat mereka yang berada dalam kerajaan menguruskan sepanjang masa era Covid,’’ katanya.

 Abd.Rauf juga menegaskan beliau tidak mencampuri urusan kerajaan tetapi mereka adalah exco kerajaan negeri yang bersama-sama Ketua Menteri menguruskan kerajaan negeri.

‘’Kalau nak ditegur,tegurlah dalam mesyuarat exco kerajaan negeri kenapa ditegur dan mengambil langkah untuk bergabung dengan parti lain untuk memperbetulkan keadaan , ini satu benda tak kena.

‘’Bagi saya,mereka berada dalam exco kerajaan negeri maka hak untuk menyatakan apa yang diperkatakan dalam sidang media mereka mestilah dinyatakan dalam mesyuarat exco,’’ katanya.

Abd.Rauf mempersoalkan, sikap Idris dan Norahizam yang semalam menyatakan mereka tidak terlibat dalam mana-mana komplot untuk menjatuhkan kerajaan negeri.

‘’Mereka telah mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan sifat keperibadian seorang pemimpin,’’ katanya.

Tiada ulasan: