HALAMAN SANTAI

Khamis, 14 Oktober 2021

Bawa isu pembubaran DUN ke mahkamah supaya jadi teladan masa hadapan - Adly Zahari

Israr Khalid
Bawa isu pembubaran DUN ke mahkamah supaya jadi teladan masa hadapan - Adly Zahari
Menurut Adly, mahkamah perlu selidik proses dan fakta di sebalik keputusan pembubaran DUN itu. - Foto BERNAMA
 
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) Melaka membawa kes pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-14 ke mahkamah supaya ia dapat dijadikan teladan dan rujukan sekiranya perkara seumpama itu berulang lagi di masa hadapan.
 
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata ia adalah tanggungjawab mereka untuk menyemak keputusan itu yang telah membawa kepada ketidak stabilan kepimpinan di negeri tersebut.
 
“Kita tahu tanggungjawab dalam Perkara 19 (2) Perlembagaan Negeri itu (bahawa) membubarkan DUN adalah kuasa mutlak Tuan Yang Terutama Yang di-Pertuan Negeri Melaka.
 
“Tetapi apa yang mahu kita lihat kepada pertimbangan yang harus diberikan perhatian oleh mahkamah itu adalah tentang proses dan juga fakta yang menyebabkan DUN itu terbubar, terutamanya dalam konteks representasi, bagaimana proses itu dibuat,” katanya.
 
Sepertimana yang telah dinyatakan bekas Ketua Menteri Melaka itu pada 7 Oktober tempoh hari, pembubaran DUN itu telah mengundang berlakunya pilihan raya yang akan memberi risiko terhadap kesihatan rakyat.
 
Manakala pengisytiharan darurat pula akan menyebabkan kuasa terhad kepada negeri, di samping memberi kesan negatif terhadap ekonomi dan pelaburan.
 
Beliau sebelum itu juga menegaskan bahawa sepatutnya Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali tidak berhak untuk menasihati Tun Mohd Ali Rustam selaku Yang di-Pertua Negeri Melaka supaya membubarkan DUN kerana beliau tidak lagi mempunyai majoriti.
 
Disebabkan perkara-perkara tersebut, keabsahan pembubaran DUN Melaka itu perlu dibawa ke muka pengadilan dan ditentukan oleh mahkamah berlandaskan undang-undang dan Perlembagaan Negeri.

Tiada ulasan: