HALAMAN SANTAI

Isnin, 18 Oktober 2021

Berjasa garis 7 ciri politik baharu tawar kepimpinan untuk rakyat Malaysia

MGF17102021_SIDANG-MEDIA-PARTI-BERJASA-03
Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Zamani Ibrahim bercakap pada sidang media berkenaan kemelut politik menjelang PRU-15 di Bandar Baru Bangi. Foto AMIRUL SHAUFIQ

BANGI – Parti Berjasa menggariskan tujuh ciri politik baharu sebagai langkah menawarkan kepimpinan kepada rakyat Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Zamani Ibrahim berkata, pihaknya menginsafi bahawa majoriti rakyat Malaysia sudah muak serta bosan dengan situasi politik tanah air terutamanya permainan politik kotor parti-parti yang hanya mementingkan keuntungan peribadi mengatasi kepentingan rakyat dan negara.

Beliau mendakwa, perlu diakui bahawa negara kini sedang dirosakkan oleh pimpinan parti politik sedia ada yang korup, rasuah dan tidak berintegriti.

Justeru katanya, satu konsensus telahpun dicapai menerusi satu mesyuarat khas yang didakan dalam membincangkan isu-isu politik semasa negara.

“Berjasa menampilkan kepimpinan baharu yang bebas daripada cengkaman budaya politik wang dan kawalan tradisi ‘warlord’.

“Kita juga menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai tiang seri hubungan etnik, ke arah integrasi dan perpaduan nasional, serta menamatkan fenomena chauvinism dan rasisme.

“Berjasa akan mengangkat agenda pemerkasaan orang Melayu dan Bumiputra dalam segenap bidang, demi kestabilan politik jangka panjang, melangkaui sempadan kepartian dan kuasa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Zamani berkata, perkara lain yang turut dimasukkan dalam tujuh ciri itu adalah menimbang kepentingan pelbagai kaum secara rasional dan bijaksana, berpaksikan kepentingan negara dan menolak pendekatan populis semata-mata.

Katanya, parti Berjasa juga turut menampilkan pemimpin bermaruah dan berprinsip, setia pada agama, bangsa dan negara yang dipilih berasaskan kualiti dan kewibawaan.

Ujarnya, Berjasa bangga dengan identiti watan yang kaya dengan sejarah, nilai dan budaya tempatan yang tersendiri, tanpa perlu tunduk kepada kefahaman dan budaya asing serta mengamalkan tingkah laku beradab dan berakhlak mulia dalam usaha mencapai cita-cita politik.

Tambahnya, beliau yakin serta percaya melalui tujuh ciri politik ini bakal memberikan nafas baharu dalam landskap politik negara yang kini telah rosak dan telah mengalami defisit kepercayaan.

Katanya, pihaknya kini sedang dalam proses rundingan bersama NGO-NGO dan parti-parti alternatif untuk membina sebuah Jajaran Baharu politik Malaysia.

Jelasnya, jajaran baharu itu akan membawa bersama harapan rakyat untuk sebuah negara yang unggul dan bermaruah menjelang PRU-15 dengan aspirasi jajaran baharu itu adalah untuk membawa rakyat bersama pimpin negara.

“Ini bermakna, untuk menghadapi PRU akan datang kita
memerlukan sebuah kepimpinan baharu. Kami akan maklumkan perkembangan ini dari semasa ke semasa.

“Dalam masa yang sama, sebagai salah satu inisiatif dari Berjasa, kami juga akan melancarkan dokumen Belanjawan Alternatif Berjasa pada 27 Oktober ini iaitu dua hari sebelum pembentangan Belanjawan di Dewan Rakyat.

“Belanjawan Berjasa ini ditunjangi tujuh teras utama merangkumi 100 cadangan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: