HALAMAN SANTAI

Isnin, 18 Oktober 2021

DAP Melaka sedia tanding PRN, yakin menang besar

Seperti UMNO yang yakin akan menang besar, DAP juga yakin akan dapat menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini.

Pengerusinya, Datuk Tey Kok Kiew berkata parti itu sentiasa bersiap sedia dan akan mempertahankan semua kerusi yang ditandinginya semasa pilihan raya sebelum ini, namun bertegas langkah mengadakan PRN akan mengundang risiko penularan Covid-19 selepas ini.

“DAP tidak setuju UMNO memohon pembubaran DUN tanpa mengambil kira pandemik COVID-19 yang menyebabkan penduduk Melaka menghadapi risiko.

“Bagaimanapun, kami akan menghadapi PRN bagi menyerahkan mandat kepada rakyat untuk membuat pilihan parti yang akan memerintah negeri ini,” katanya dipetik dalam portal.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, DAP bertanding lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menang semuanya, sementara Amanah bertanding enam kerusi tetapi hanya menang dua kerusi manakala PKR bertanding tujuh kerusi tetapi hanya menang tiga DUN.

Sementara Bersatu yang ketika itu adalah komponen Pakatan Harapan, menang dua daripada tujuh kerusi ditandingi.

Kok Kiew menyatakan keyakinan pencapaian sama mampu diulangi DAP dalam PRN kali ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan penamaan calon PRN Melaka pada 8 November manakala undi awal pada 16 November dan hari mengundi 20 November.

DAP sebelum ini meminta SPR memastikan pengundi yang berada di luar negara dan bekerja di luar Melaka dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

Parti itu turut menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) dan SPR menyediakan pelan kempen dan pengundian yang berkesan dalam usaha mengelak penularan pandemik berbahaya itu.

Untuk rekod Barisan Nasional (BN) bertanding di semua 28 kerusi DUN dalam PRU-14 tetapi hanya menang 13 kerusi, berbanding 21 kerusi yang dimenangi pada PRU-13.

Tiada ulasan: