HALAMAN SANTAI

Selasa, 19 Oktober 2021

DAP tolak pengkhianat jadi calon PH, merujuk kepada Norhizam


DAP menegaskan parti itu tidak akan menerima pengkhianat yang juga bekas Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, mewakili Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang enggan memberi alasan penolakan itu sebaliknya berkata pendirian parti itu akan dimaklumkan pada Majlis Presiden PH.

“Ada yang tanya dan saya dengan tegas menyatakan DAP tolak sama sekali bekas ADUN Pengkalan Batu sebagai calon dalam PRN negeri akan datang.

“Saya tidak mahu sebut (alasan), tidak perlu pergi pada asal usulnya semua pun tahu, DAP tetap tidak terima dia sebagai calon dalam PRN negeri,” katanya dalam sidang media di pejabat DAP di Melaka, hari ini.

Norhizam sebelum ini menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU) lalu atas tiket DAP, dan menjadi Exco ketika PH berkuasa. Beliau bagaimanapun mengumumkan menjadi calon Bebas yang memberi sokongan kepada UMNO untuk membentuk kerajaan baharu negeri itu pada Mac tahun lalu.

Bekas ADUN DAP Kota Laksamana Low Chee Leong pernah menggelar Norhizam sebagai pengkhianat.

Norhizam juga adalah antara empat ADUN, termasuk dua daripada UMNO dan seorang Bersatu, yang menarik sokongan kepada pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, menyebabkan Kerajaan UMNO Melaka tumbang pada 4 Oktober lalu.

Susulan itu, Sulaiman mengemukakan usul pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang kemudian dipersetujui Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diadakan pada 20 November ini. Hari penamaan calon ditetapkan pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 16 November.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, PH komited unuk memastikan mandat rakyat dikembalikan pada PRN ini dan kekal menyatakan sokongan kepada Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri.

“PH menyatakan sokongan kepada Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri dan saya harap tidak ada apa-apa kesangsian tentang perkara ini.

“Ini bukan hanya daripada DAP sahaja tetapi parti komponen yang lain kerana Adly menjalankan tugas yang baik,” katanya.

Semalam, keempat-empat bekas ADUN Melaka yang menjadi punca kejatuhan kerajaan negeri mengadakan pertemuan dengan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Anwar tidak memaklumkan sama ada keempat-empat mereka akan diambil menjadi calon blok pembangkang bagi menghadapi PRN itu. Berita berkaitan

Tiada ulasan: