HALAMAN SANTAI

Sabtu, 23 Oktober 2021

Jika darurat tidak tamat, PRN Melaka pasti boleh dielakkan


Sebelum ini, ramai mempertikaikan langkah Proklamasi Darurat yang dilaksanakan semasa era kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan selepas ia ditamatkan pada 1 Ogos nampaknya lebih banyak implikasi buruk berlaku kepada negara.

Sejak Darurat ditamatkan pada 1 Ogos, desakan pembangkang supaya ordinan-ordinan didalamnya diungkai juga tidak lagi kedengaran semasa sesi Dewan Rakyat baru-baru ini.

Desakan pembangkang supaya diadakan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri (PM) juga senyap dan tidak lagi kedengaran, malah sebaliknya jawatan Ketua Pembangkang dinaik taraf dan kini setara dengan jawatan menteri.

Malah selepas darurat ditamatkan, nampaknya yang paling gembira dan suka pasti melibatkan kumpulan kluster mahkamah apabila mula menerima keistimewaan yang diberikan oleh kerajaan pimpinan PM UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Begitu untung Ismail Sabri apabila tidak langsung dikritik pembangkang walaupun kumpulan kluster mahkamah diberikan keistimewaan sehingga pasport dikembalikan untuk ke luar negara, walhal peminjam tabung pendidikan pun sebelum ini jika tidak membayar pinjaman tidak dibenarkan ke luar negara.

Bayangkan sekiranya keistimewaan atau kelonggaran tersebut diberikan semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, pastinya pembangkang akan menuduh kerajaan cuba campur tangan dalam institusi kehakiman dan perundangan negara.

Bagaimanapun lain ceritanya dibawah kerajaan dominan UMNO, pembangkang nampaknya seakan merestui dan redha dengan segala tindak-tanduk yang diambil kerajaan kini.

Mungkin Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimerterai itu juga melibatkan syarat-syarat untuk melepaskan kluster mahkamah sehingga pembangkang kini sanggup menggadaikan prinsip mereka.

Berbalik kepada isu ungkai ordinan darurat, penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz menjelaskan sebelum ini:

“Darurat itu memang komitmen kerajaan, tidak mahu menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk meneruskan darurat selepas 1 Ogos itu tiada masalah.

“Tetapi ordinan itu boleh beroperasi selepas masa darurat dalam masa enam bulan sekiranya tidak ditarik balik atau diungkaikan oleh Parlimen.”

Ia bermakna, apabila ordinan Darurat itu tidak diungkai ianya masih beroperasi dan boleh diguna pakai selama enam bulan selepas Proklamasi Darurat ditamatkan pada 1 Ogos lalu.

Sebelum ini, kerajaan PN mengumumkan pelaksanaan beberapa ordinan sepanjang tempoh Proklamasi Darurat antaranya Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu); Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (pindaan) 2021.

Selain itu, Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja)(pindaan) 2021, turut dilaksana dalam usaha menbendung penularan Covid-19.

Bagaimanapun, blok pembangkang dan sekumpulan penentang dalam UMNO diketuai Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendesak supaya Proklamasi Darurat itu ditamatkan.

Ia juga mengakibatkan tumbangnya kerajaan pimpinan Muhyiddin disebabkan tekanan dan desakan daripada pembangkang bersama kumpulan Zahid.

Untuk rekod, sepanjang Proklamasi Darurat beberapa pilihan raya kecil (PRK) juga ditangguhkan dan tidak diadakan walaupun mengikut perundangannya perlu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam senario politik Melaka, ia sebaliknya yang berlaku selepas Proklamasi Darurat ditamatkan apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa diadakan pula.

Jika semasa era PN memerintah, darurat dilaksanakan bagi mengelak rakyat menjadi mangsa kepada kerakusan kuasa orang politik dan terbukti dengan krisis politik Melaka rakyat sekali lagi menjadi mangsa.

Rakyat baharu hendak hidup bernafas semula seperti normal dan mencari rezeki, tiba-tiba sekali lagi terpaksa berdepan kemelut politik yang seakan tiada pengakhirannya.

PRN Melaka tidak akan membantu rakyat mendapat hidup yang lebih selesa dan membawa mereka keluar daripada pandemik Covid-19, malah ia akan membahayakan nyawa mereka dan berisiko dijangkiti virus membunuh tersebut.

Walaupun kadar vaksinasi dewasa sudah hampir mencapai tahap maksimum, ia bukan jaminan kes jangkitan Covid-19 akan menurun, malahan setiap hari masih terdapat ribuan kes baharu direkodkan.

Kes Covid-19 baharu hendak turun tetapi suhu politik negara pula naik, malangnya rakyat dihimpit dan dilibatkan bersama dalam perebutan kuasa orang politik.

Sekurang-kurangnya semasa Proklamasi Darurat diumumkan kerajaan PN, rakyat tidak menjadi mangsa sebegini apabila turut menjadi mangsa diheret dalam permainan orang politik yang tidak habis-habis memikirkan diri sendiri daripada kepentingan awam.

Tiada ulasan: