HALAMAN SANTAI

Sabtu, 23 Oktober 2021

‘Poster boy’ punca kekalahan BN PRU lalu, kata Idris


Datuk Seri Idris Haron memberitahu, beliau tidak percaya dengan kempen yang menggunakan ‘budak poster’ (poster boy) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan diadakan 20 November ini.

Menurut bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang itu, langkah itu bukan sahaja tidak berkesan malah memberi kekalahan teruk kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Poster boy merupakan salah satu cara berkempen dengan menonjolkan individu tertentu yang mewakili sesebuah parti.

“Saya kurang percaya kepada poster boy ini, kerana kalau kita mempunyai pengalaman dalam PRU dulu, poster boy inilah yang menyebabkan kekalahan teruk kepada BN.

“Poster boy ini maknanya, orang yang menjadi perdana menteri (pada ketika) itulah yang menjadi kekalahan teruk (BN) di seluruh negara pada ketika itu,” katanya dalam laporan Malaysiakini. 

Meskipun tidak menyebut nama, kenyataan itu jelas merujuk kepada Datuk Seri Najib Razak yang merupakan Perdana Menteri, Pengerusi BN dan Presiden UMNO pada ketika itu.

Najib yang terpalit dengan skandal 1MDB dikatakan menyebabkan imej UMNO dan BN terjejas teruk dalam kalangan pengundi, sekali gus menyaksikan tumbangnya kerajaan BN buat julung-julung kalinya dalam sejarah negara.

Najib didapati bersalah atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd – yang merupakan anak syarikat 1MDB – dan kini dalam proses rayuan.

Selain itu, Idris sekali lagi berkata dia menyerahkan kepada pertimbangan PH untuk menentukan sama ada beliau bertanding atas tiket gabungan itu atau tidak. 

“Wallahua’lam. Pada ketika ini, saya belum lagi mendapat sebarang isyarat yang saya akan bertanding.

“Saya ini the new kid on the block (budak baru dalam kalangan pembangkang). Saya pun dah bagitahu pada Adly, tak payah beri ulasan banyak-banyak (tentang kedudukan saya).

“Kalau rasa ada keperluan untuk saya bertanding, saya serahkan diri saya untuk menyumbang. Kalau rasa tak ada keperluan, apa yang saya nak lakukan? Dah adat.

“Tetapi, sekurang-kurangnya saya akan teruskan dengan idealisme perjuangan saya,” katanya lagi.

Tiada ulasan: