HALAMAN SANTAI

Jumaat, 15 Oktober 2021

Politik Melaka: UMNO perlu kerjasama banyak pihak - Annuar

Bernama
Politik Melaka: UMNO perlu kerjasama banyak pihak - Annuar
Annuar berkata mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO malam ini akan memutuskan pendirian Ahmad Zahid berhubung PRN Melaka. - Gambar fail
 
PUTRAJAYA: Apa jua pendirian yang disuarakan UMNO tidak boleh melihat kepada kepentingan parti sahaja tetapi harus melihat kepada kedudukan parti sebagai pihak yang memimpin kerajaan dan memerlukan kerjasama banyak pihak.
 
Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata sekiranya kerjasama itu ditolak ia akan merugikan parti.
 
"Politik muafakat, perbincangan dan inklusiviti ini perlu diberi perhatian serius oleh UMNO," katanya kepada media selepas melancarkan Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia di sini hari ini.
 
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara bersendirian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tanpa kerjasama parti lain termasuk PAS yang menjadi sekutunya dalam Muafakat Nasional (MN) ataupun Bersatu.
 
Annuar berkata beliau berpandangan UMNO tidak harus melupakan betapa pentingnya kerjasama diberikan banyak pihak kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
 
"Perdana Menteri memerlukan sokongan dan hubungan baik dengan banyak pihak dan tidak seharusnya satu PRN atau Pilihan Raya Kecil boleh menggugat konsep Keluarga Malaysia dan inklusiviti yang dianjurkan beliau," katanya.
 
Annuar berkata mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO malam ini akan memutuskan pendirian Ahmad Zahid berhubung PRN Melaka.
 
"Apapun saya fikir UMNO harus lebih berhati-hati sebelum membuat sesuatu kenyataan kerana kenyataan yang dikeluarkan daripada pendapat individu boleh membawa masalah kepada parti.
 
"Dalam parti elok amalkan budaya berunding supaya dapat sesuatu keputusan itu berasaskan kepada konsultasi bagi mengelakkan pandangan peribadi kerana ia didorong oleh sentimen tertentu yang merugikan," katanya.-- BERNAMA

Tiada ulasan: