Astro Awani
Tengku
Razaleigh berkata kesukaran untuk berubah disebabkan UMNO masih
dikuasai oleh pemimpin-pemimpin berpengaruh dan politik wang. - Gambar
fail
KUALA LUMPUR:
Perubahan yang diharapkan dalam UMNO kini semakin mustahil untuk
berlaku, kata Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.
Tengku Razaleigh berkata kesukaran itu disebabkan UMNO masih dikuasai oleh pemimpin-pemimpin berpengaruh dan politik wang.
Beliau
menjelaskan, perkara itu menjadi lebih parah apabila sikap ahli-ahli
parti yang amat mudah menerima pandangan mereka yang berpangkat.
“Kita
senang sangat dengar cakap orang yang berpangkat, berjawatan dan
berduit tanpa menyoal, walaupun pandangan mereka itu lain dengan apa
yang diharapkan kita, sebab itu macam-macam benda jadi. Politik tidak
menentu, tiga kerajaan dalam tiga tahun.
“Kalaulah
dalam UMNO itu sendiri tidak begitu menyenangkan, tak mungkin diyakini
boleh bersatu balik dan menjadi gagah kuat seperti dulu,” katanya ketika
sesi webinar bertajuk UMNO Yang Hilang anjuran Majlis Perundingan
Melayu (MPN), pada Khamis.
Pada masa sama, beliau berpendapat UMNO sudah melalui pelbagai perubahan, namun masih tidak menunjukkan hasil yang positif.
“Kita
kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sejak itu susah nak
kembalikan UMNO kepada kedudukan lama. Banyak rakan-rakan parti yang
sudah keluar dari Barisan Nasional (BN) dan kedudukan menjadi berbeza
berbanding dulu, kepimpinan baharu pun ada cara baharunya.
“Itu
sebab saya berundur sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, bukan
kerana saya tak nak kekal dalam parti, tetapi, ada yang memberi harapan,
mengapa tidak cuba aktifkan UMNO Lama.
"Kita
nak bersihkan parti ini dan mahu jadi wadah yang diterima oleh
masyarakat, tetapi kalau nak perbaiki UMNO Baharu adalah sesuatu yang
agak mustahil,” katanya.
Justeru, beliau
berpendapat perubahan minda dalam kalangan orang Melayu perlu dilakukan
segera supaya tidak lagi memandang tinggi kepada individu berjawatan
tinggi dan mempunyai wang yang banyak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan