HALAMAN SANTAI

Ahad, 17 Oktober 2021

PRN Melaka: Formula Shahidan mudah, sanggah rancangan Zahid


Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini memberi formula mudah dan lebih realistik berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sekali gus menyanggah pendapat Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang mahu UMNO dan Barisan Nasional (BN) bertanding sendirian.

Menurut Ahli Parlimen Arau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan itu, UMNO perlu mengambil kira realiti politik semasa berhubung kerjasama dengan PAS dan Bersatu pada PRN Melaka.

Ini kerana Kerajaan Pusat sekarang ini yang diterajui Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri turut mendapat sokongan PAS dan Bersatu, katanya.

“Kita kena realistik kerajaan sekarang dianggotai UMNO, PAS, Bersatu, GPS (Gabungan Parti Sarawak), STAR (Parti Solidariti Tanah Airku) dan Bebas.

“Kalau kita bergaduh dalam PRN Melaka, tetapi apabila balik ke Putrajaya kita kembali berkawan, ini boleh menyebabkan rakyat tak gembira, silap-silap rakyat makin benci.

“Maka, pandangan UMNO Arau mesti ada kerjasama parti politik Bumiputera terutama dengan PAS dan BERSATU. Jangan ambil prinsip yang merugikan,” katanya.

Memetik laporan BH hari ini, Shahidan berkata muafakat politik itu perlu diteruskan dalam PRN Melaka, bukannya bertanding secara bersendirian tetapi selepas itu kembali bersama dalam Kabinet.

Untuk rekod, Ismail Sabri dipilih menjadi Perdana Menteri setelah mendapat sokongan 50 Ahli Parlimen (MP) Perikatan Nasional (PN) diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jumlah tersebut termasuk 31 MP mewakili Bersatu, 18 PAS dan satu Parti Solidariti Tanah Airku (Star) serta empat MP Bebas pro-PN.

Sebelum ini, Zahid yang juga Presiden UMNO dalam satu wawancara dalam talian Isnin lalu berkata, UMNO dan BN akan bertanding secara bersendirian pada PRN Melaka tanpa kerjasama parti lain termasuk PAS.

Zahid dengan angkuhnya berkata ‘no way’ terhadap sebarang bentuk kerjasama dengan Bersatu sama ada dalam PRN Melaka mahupun pilihan raya umum (PRU).

Semalam, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid mendedahkan hanya Zahid yang mahu UMNO bertanding secara solo pada PRN Melaka, tetapi setakat ini parti masih belum ada keputusan muktamad.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata walaupun Perhimpunan Agung UMNO 2020 bersetuju memutuskan hubungan dengan Bersatu, ketetapan itu adalah untuk PRU15, bukannya PRN Melaka.

“Kerjasama selepas PRU15 adalah perkara lain, sekarang kita perlukan kerajaan yang kuat untuk tadbir negara.

“Kerajaan sekarang jadi kuat kerana disokong pembangkang melalui Memorandum Persefahaman (MoU) sehingga banyak rang undang-undang (RUU) diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

“Ini menunjukkan walaupun kita berbeza pendapat sesama parti yang memerintah, di pihak pembangkang mereka beri sokongan kuat. Ini tidak bagus, keadaan macam sudah jadi terbalik,” katanya.

Shahidan juga menyeru supaya parti Melayu bersatu padu bagi menzahirkan kekuatan pada PRN Melaka kerana pada pemerhatiannya mendapati mana-mana parti yang bertanding secara bersendirian tidak mempunyai peluang untuk membentuk kerajaan.

“Kalau PAS dan Bersatu bertanding solo, mereka tak akan menang (bentuk kerajaan negeri). Begitu juga UMNO kalau solo tak boleh menang juga.

“Untuk memerintah, perlu ada kerjasama semua parti politik Bumiputera di Melaka. Tiada pilihan lain,” katanya.

Tiada ulasan: