HALAMAN SANTAI

Ahad, 17 Oktober 2021

Hak abang saya tubuh parti baharu, kata Ismail Sabri


Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan tindakan abangnya Kamarazaman Yaakob menubuhkan parti baharu – Parti Kuasa Rakyat -adalah hak beliau dalam amalan negara demokrasi.

Malah, beliau yang juga Naib Presiden UMNO berpendapat perbezaan keahlian parti politik dalam kalangan ahli keluarga juga bukan suatu perkara baharu dalam politik tanah air.

“Adik beradik berlainan parti politik bukan perkara baharu, sudah ada di Malaysia…ini demokrasi, itu hak beliau…tidak timbul pertelingkahan dan sebagainya,” kata Ahli Parlimen Bera itu ketika ditanya mengenai tindakan Kamarazaman yang menubuhkan Parti Kuasa Rakyat baru-baru ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Upacara Pemakaian Lencana Pangkat kepada Ketua Polis Daerah Bera Superintendan Mansor Samsudin yang dinaikkan pangkat daripada Deputi Superintendan (DSP) di Dewan Sri Kempas Ibu Pejabat Polis Daerah Bera di sini hari ini.

Upacara disempurnakan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan turut dinaikkan pangkat ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Bera DSP N Kumaran yang sebelum ini memakai pangkat Asisten Superintendan.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said; Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Datuk Seri Sahabudin Abd Manan dan Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass.

Media sebelum ini melaporkan Kamarazaman melancarkan parti baharu iaitu Parti Kuasa Rakyat, yang berbilang kaum pada 10 Oktober lalu, yang antara lain akan memperjuangkan pelajaran percuma, kesihatan percuma, rumah percuma dan peluang pekerjaan terutama kepada golongan B40 dan M40.

Tiada ulasan: