Fareez Azman

Datuk
Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu akan dibawa ke mesyuarat
Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO serta Dewan Tertinggi
BN sebelum keputusan dimuktamadkan. - Gambar fail
MASJID TANAH:
Pendirian UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama dengan
mana-mana parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diputuskan
selepas mesyuarat di tiga peringkat.
Presiden
UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu akan dibawa ke
mesyuarat Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO serta
Dewan Tertinggi BN sebelum keputusan dimuktamadkan.
Katanya, keputusan berkaitan kerjasama itu akan diputuskan sebelum hari penamaan calon pada 8 November.
"UMNO dan BN mesti ditanya siapa rakan politik kami untuk menghadapi PRN.
"Saya
ingin menyatakan bahawa keputusan muktamad untuk UMNO dan BN
bekerjasama dengan mana-mana pihak belum diputuskan secara rasmi.
"Keputusan
muktamad akan kita umumkan apabila (selepas) mesyuarat Biro Politik
UMNO dan juga MKT UMNO akan diikuti Dewan tertinggi BN yang akan kita
adakan minggu depan atau tarikh-tarikh sebelum hari penamaan calon,"
jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Jentera PRN UMNO Melaka di Masjid Tanah pada Selasa.
Turut
hadir dalam majlis itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled
Nordin; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Wanita
UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik
Khan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid,
berkata UMNO sentiasa berlapang dada dan berfikiran terbuka dalam
menerima pandangan mana-mana pihak sebelum keputusan dibuat.
"Pelbagai
pihak datang kepada kami, kami berlapang dada dan berfikiran terbuka...
siapa sahaja mahu berikan pandangan kami terima.
"Namun
segala keputusan akan kita putuskan secara kolektif apabila tiba
masanya nanti. Maka jangan ada spekulasi daripada mana-mana penganalisis
politik untuk menelaah di manakah pendirian UMNO dan BN dalam PRN
Melaka ini," katanya lagi.
Tambah Ahmad
Zahid, pemilihan calon UMNO ketika ini bertumpu kepada rekod kemenangan
calon berdasarkan data dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dan ke-14
lalu.
"Setakat ini kami melihat bahawa fokus kepada calon-calon kami terletak di atas kebolehmenangan kawasan DUN itu.
"Berdasarkan
sains dan data melalui perangkaan yang diperolehi daripada PRU-14 dan
PRU-13 dan unjuran yang dibuat untuk PRN kali ini," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan