Fadilah Sulaiman
Menurut
Wan Junaidi, terdapat dua perkara dalam Ordinan Darurat Sarawak 2021
yang membolehkan situasi itu berlaku selari dengan bidang kuasa Yang
di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustaffa Billah
Shah. - Foto Astro AWANI
KUCHING:
Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak boleh diadakan sebelum tempoh
darurat tamat pada 2 Februari 2022, kata Menteri di Jabatan Perdana
Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku
Jaafar.
Jelasnya, terdapat dua perkara
dalam Ordinan Darurat Sarawak 2021 yang membolehkan situasi itu berlaku
selari dengan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah
Ri’ayatuddin Al Mustaffa Billah Shah.
“Yang pertama, darurat ini boleh disingkatkan oleh Yang di-Pertuan Agong kalau diperlukan.
“Yang
kedua, pilihan raya boleh diadakan kalau Yang di-Pertuan Agong
bersetuju dengan persetujuan Kerajaan Negeri iaitu Yang di-Pertua Negeri
dan Ketua Menteri.
‘’Jadi kalau ini boleh didapatkan, saya cukup yakin soalan darurat itu tidak berbangkit lah masalah,” katanya.
Wan
Junaidi berkata demikian semasa sidang media Majlis Pecah Tanah Masjid
Mutiara Iman Taman Sepakat Jaya, Demak Laut pada Sabtu.
Tambahnya
lagi, tidak ada masalah dalam aspek undang-undang untuk melaksanakan
PRN-12 Sarawak lebih awal daripada yang dijadualkan.
Sementara
itu, semasa berucap di majlis sama, Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen
Santubong mendedahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut,
Hazland Abang Hipni akan terus bertanding untuk kerusi itu bagi PRN-12
akan datang.
“Sebab itulah saya panggil
Hazland untuk berucap tadi kerana beliau adalah bakal calon kita jadi
dia kenalah beri ucapan. Ketika ini saya fikir tak ada orang lain lah
(sesuai dicalonkan).
‘’Jadi kita minta dia promosikan diri kerana kita tidak tahu bila pilihan raya,” ujarnya.
Pada
masa sama, ketika disoal sama ada kesemua ADUN di dalam kawasan
Parlimennya termasuk ADUN Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi
dan ADUN Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu akan terus mempertahankan
kerusi mereka, beliau yakin mereka masih boleh berkhidmat dan mendapat
sokongan rakyat.
“Saya belum diberitahu
secara rasmi kalau ada pertukaran (calon) tetapi pandangan saya Datuk
Amar Jamilah menjalankan tugas dengan baik tapi jika beliau nak
mengundur diri itu adalah di antara beliau sendiri dengan Ketua Menteri.
“Kesemua mereka termasuk Abdul Rahman, Hazland masih muda bertenaga dan masih mendapat sambutan ramai,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan