HALAMAN SANTAI

Khamis, 7 Oktober 2021

Tampil sekiranya ada bukti kes bolot projek royalti pasir di Melaka, kata SPRM

SPRM berkata, pihaknya akan menghantar pegawai untuk mengadakan 
perjumpaan dengan ADUN Sungai Udang Idris Haron bagi mendapatkan 
maklumat lanjut berhubung isu berkaitan.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta mana-mana pihak yang memiliki maklumat atau bukti salah laku rasuah dan penyelewengan berhubung isu pembolotan projek ekonomi serta menipu kerajaan persekutuan berkaitan royalti pasir di Melaka untuk tampil.

SPRM dalam kenyataan berkata, pihaknya memandang serius dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang Idris Haron berhubung isu berkenaan.

“SPRM juga akan menghantar pegawai untuk mengadakan perjumpaan dengan Idris Haron bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung isu tersebut,” menurut kenyataan itu.

Menurut SPRM, kegagalan untuk melaporkan mana-mana salah laku di bawah Akta SPRM merupakan satu kesalahan yang boleh didakwa mengikut Seksyen 25 Akta SPRM.

Semalam, Idris yang juga bekas Ketua Menteri Melaka dalam satu sidang media mendakwa terdapat pemimpin Umno di negeri itu membolot projek ekonomi dan menipu kerajaan persekutuan berkaitan royalti pasir.

Idris mendedahkan, disebabkan perkara tersebut, beliau terpaksa menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Melaka untuk menyelamatkan Umno daripada ditolak oleh rakyat pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Isnin lalu, Idris bersama tiga lagi ADUN mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Tiga lagi ADUN yang turut menarik sokongan ialah ADUN Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee; ADUN Telok Mas, Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pantai Kundor, Nor Azman Hassan.

Tiada ulasan: