HALAMAN SANTAI

Khamis, 7 Oktober 2021

Siapa menang sekiranya MN terkubur?

Imran Ariff

Penganalisis sukar meramalkan sama ada perpecahan akan menguntungkan Umno 
atau Bersatu, namun mereka bersetuju PAS akan terjejas kerana hilang sokongan 
Umno dan penyokongnya.

PETALING JAYA: Siapa akan menang sekiranya Muafakat Nasional (MN) yang menjadi pakatan antara Umno dan PAS terkubur sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan?

Perpecahan mungkin berlaku sebelum pilihan raya, namun penganalisis sukar meramalkan sama ada ia akan menguntungkan Umno atau Bersatu.

Bagaimanapun mereka bersetuju PAS akan terjejas kerana hilang sokongan Umno dan penyokongnya.

Selasa lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, mungkin sudah tiba masanya untuk “beralih” daripada pakatan yang dibentuk dua parti itu pada 2019 kerana Umno tidak lagi boleh berdepan dengan ketidaktentuan MN dalam persiapannya berdepan PRU15.

PAS juga adalah sebahagian daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Bersatu, namun pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) lalu, Umno membuat ketetapan untuk tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya.

Dalam keadaan tersepit di tengah-tengah, PAS berkata, ia akan menyokong penyandang di kawasan pilihan raya yang menyaksikan pertembungan antara Umno dan Bersatu.

Felo Majlis Profesor Negara (MPN) Jeniri Amir memberitahu FMT bahawa beliau percaya sekiranya Umno lebih sensitif terhadap sentimen rakyat, ia tidak lagi memerlukan sokongan daripada parti Islam itu.

“Pada 2019, apabila mereka mengadakan pakatan selepas PRU14, persepsi rakyat terhadap Umno tidak begitu baik,” katanya.

Jeniri Amir.

“Tetapi ia berubah. Kedudukan parti itu lebih baik sekiranya memutuskan untuk berdepan pilihan raya umum tanpa PAS.

“Secara peribadinya, saya tidak melihat alasan PAS di sebalik sokongannya terhadap Bersatu memandangkan ia tidak mempunyai jumlah kerusi yang sama atau jentera yang kuat seperti yang dibina oleh Umno selama ini.”

Katanya, perpecahan secara rasmi akan memudahkan Ismail Sabri Yaakob dan pentadbirannya memandangkan mereka tidak perlu lagi memenuhi kehendak PAS.

“Umno ialah parti nasionalis, manakala PAS pula parti Islam. Perpecahan akan membantu Umno apabila pada masa itu ia mungkin dilihat sebagai lebih sederhana,” katanya.

Bagaimanapun bekas ahli akademik Azmi Hassan berkata, perpecahan itu akan lebih menguntungkan Bersatu.

“PAS dan Umno akan rugi besar jika MN tidak dipertahankan memandangkan ia terbukti berhasil berdasarkan apa yang dilihat dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini,” katanya.

Azmi Hassan.

Beliau merujuk kepada pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Kecil dan Cameron Highlands pada 2019 apabila jentera gabungan dua parti itu berjaya memberi kemenangan kepada calon sekutu mereka.

“Bersatu akan menang daripada semua keadaan ini memandangkan ia amat memerlukan sokongan PAS sekiranya calon parti itu berdepan dengan Umno,” kata Azmi.

Namun katanya, ia tidak mungkin memberi kesan kepada pembangkang “memandangkan Umno, PAS dan Bersatu mempunyai banyak pertindihan penyokong” dan mereka tidak mungkin beralih daripada ketiga-tiga parti itu.

Tiada ulasan: