HALAMAN SANTAI

Rabu, 13 Oktober 2021

Tular klip audio PM minta nasihat pemimpin PKR isu Melaka


Satu lagi klip audio tular melibatkan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertebaran dalam media sosial, kali ini beliau berbual dengan seorang pemimpin atasan PKR seakan meminta nasihat perundangan berhubung kemelut politik yang melanda Melaka baru-baru ini.

Suara kedua dalam klip audio itu yang mirip Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, turut membincangkan berkaitan tindakan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Suara yang mirip Ismail Sabri juga sekurang-kurangnya dua kali meminta pengesahan Shamsul sama ada Pakatan Harapan (PH) akan membawa isu pembubaran DUN ke mahkamah.

“So you all nak, nak challenge (cabar) kat mahkamah lah ni?,” soal suara mirip Ismail Sabri kepada Shamsul.

Selain itu Ismail Sabri juga bertanya kepada Shamsul sama ada boleh atau tidak Yang di-Pertuan Negeri Tun Ali Rustam menarik balik perisytiharan pembubaran DUN, ia mungkin boleh menyebabkan kerajaan dan Yang di-Pertua Negeri mendapat malu.

Untuk rekod kedua-duanya Ismail Sabri dan Shamsul adalah lulusan undang-undang. Ismail Sabri adalah lulusan undang-undang Universiti Malaya dan Samsul pula lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Sementara itu, sebelum ini Ismail Sabri juga melantik Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai penasihat undang-undang tetapi tidak pasti mengapa beliau tidak menasihati PM berhubung isu kemelut Melaka itu.

Antara perbincangan itu termasuk pertanyaan Ismail Sabri kepada Shamsul:

“Boleh ke former Ketua Menteri (KM) boleh jadi KM caretaker? Tak boleh?” yang kemudian dijawab oleh Shamsul,  Datuk Seri Sulaiman Md Ali tidak boleh menjadi KM sebab sudah hilang majoriti.

Suara mirip Ismail Sabri juga berkata apa yang beliau tahu adalah bekas Exco Melaka, Datuk Seri Idris Haron menarik sokongan pada jam 2 petang tapi DUN dibubarkan pada 11 pagi dan ketika itu Sulaiman masih ada majoriti.

Dalam perbualan itu Shamsul juga memberitahu Ismail Sabri selepas KM hilang majoriti, beliau perlu meletak jawatan atau meminta DUN dibubarkan, .

Bagaimanapun, ia perlu melalui proses tertentu iaitu Yang di-Pertua Negeri perlu memanggil kedua-dua pihak iaitu Sulaiman dan Idris untuk pengesahan pihak yang memperoleh majoriti sebagaimana dilakukan  di peringkat Persekutuan.

Krisis politik Melaka sebelum ini tercetus susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kerajaan UMNO pimpinan Sulaiman.

Ali kemudian dilaporkan bersetuju membubarkan DUN selepas dikatakan bertemu Sulaiman.

Persetujuan pembubaran DUN itu diumumkan Speaker DUN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada 7 Oktober lalu  dengan pengesahan Proklamasi Pembubaran DUN Melaka itu diwartakan.

Dalam pada itu juga, PH Melaka berkata mereka akan mencabar keabsahan kerajaan sementara negeri itu di mahkamah selewat-lewatnya minggu depan susulan pembubaran DUN.

Pengerusi PH negeri, Adly Zahari berkata dokumen untuk mencabar keabsahan kerajaan sementara itu sedang pada peringkat akhir disiapkan oleh peguam sebelum difailkan di Mahkamah Tinggi.

Tiada ulasan: