HALAMAN SANTAI

Jumaat, 15 Oktober 2021

Umno kerah jentera, siap sedia hadapi PRN Melaka

 MALAYSIA NOW

Setiausaha agung Umno turut mengesahkan pengguguran dua Adun yang bertindak menarik sokongan terhadap ketua menteri Melaka yang mencetuskan pembubaran DUN negeri itu.

Jentera Umno di setiap peringkat hari ini diarahkan untuk melakukan persiapan rapi menghadapi Pilihan Raya Negeri Melaka yang bakal diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober.

Setiusaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata persiapan tersebut mesti dijalankan dengan menuruti prosedur operasi standard (SOP) yang bakal ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam pada itu, Ahmad turut mengesahkan pengguguran keahlian dua ahlinya yang yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali sekali gus menjadi pencetus pembubaran DUN negeri itu.

“Majlis Kerja tertinggi Umno juga mengesahkan pengguguran keahlian Umno terhadap Idris Haron dan Nor Azman Hassan yang sebelum itu adalah ahli di Bahagian Tangga Batu, Melaka,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Pengumuman pembubaran DUN Melaka yang berkuat kuasa 4 Oktober dimaklumkan Yang di-Pertua DUN Ab Rauf Yusoh.

Beliau memaklumkan keputusan tersebut dibuat oleh Yang di-Pertua Negeri Mohd Ali Rustam selepas dimohon oleh Sulaiman.

Ia adalah susulan penarikan sokongan Idris bersama tiga lagi ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Sulaiman.

Tiga Adun terbabit adalah Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Tiada ulasan: