HALAMAN SANTAI

Isnin, 4 Oktober 2021

Wang sita RM114 juta sudah dapat, Najib boleh bayar baiki Seri Perdana

 


Walaupun wang sitaan sudah dipulangkan tetapi nampaknya Datuk Seri Najib Razak masih berkira-kira dan bukankah sepatutnya kerosakan yang berlaku di Kompleks Seri Perdana digantikan oleh bekas Perdana Menteri (PM) itu.

Untuk rekod, wang RM114 juta yang sebelum ini dirampas sudah dipulangkan kepada Najib dan sekiranya masih ada rasa tanggungjawab kerana menjadi orang terakhir menetap di Seri Perdana, beliau sepatutnya membayar ganti rugi ke atas kerosakan yang berlaku.

Namun, Najib tetap Najib, tidak akan mengaku kesalahan diri sendiri dan baginya orang lain yang bersalah hanya beliau sahaja betul. Itu adalah realiti suami kepada Datin Seri Rosmah Mansor itu.

Apabila isu kos baik pulih Kompleks Seri Perdana didedahkan kepada umum, Najib menunding jari kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin walhal beliau terlupa siapakah sebenarnya individu terakhir yang menetap di rumah agam tersebut.

Untuk rekod, dua PM sudah bertukar ganti tetapi tidak ada seorang pun sanggup duduk di rumah tersebut memandangkan keadaannya yang agak rosak teruk disamping pelbagai cerita-cerita mistik yang menjadi bualan mulut orang ramai.

Sebelum ini kita sering mendengar kisah bagaimana penyewa tidak menjaga rumah yang disewakan, sebaik sahaja berpindah habis rosak rumah tersebut sehingga kos untuk membaiki terpaksa ditanggung oleh tuan rumah.

Tidak cukup dengan itu, penyewa hanya keluar rumah begitu sahaja tanpa memikirkan kos yang terpaksa ditanggung oleh tuan rumah. Beberapa rakan pernah berdepan dengan situasi ini, mereka terpaksa mengeluarkan wang poket sendiri angkara tindakan tidak bertanggungjawab penyewa rumah.

Keadaan sama kini berlaku dalam isu Kompleks Seri Perdana apabila kerajaan selaku pemilik aset terpaksa menanggung kos kerosakan akibat penyewa terdahulu yang tinggal disitu selama bertahun-tahun.

Bagaimanapun, apabila pemilik aset mahu membaiki rumah tersebut yang agak besar, penyewa rumah pula marah kononnya mahal dan melibatkan kos tinggi. Jadi, apakah hak penyewa mahu mempertikaikan kos yang akan ditanggung tuan pemilik aset tersebut.

Sepatutnya individu terakhir yang menetap di kediaman tersebut perlu ada rasa tanggungjawab sedikit, sekurang-kurangnya menawarkan untuk membayar sebahagian kos ganti rugi. Ini tidak, hanya mahu pulangkan sahaja perabot kepada kerajaan sahaja.

Perabot itu pun tidak pasti bagaimana keadaannya, masih elok atau sudah usang kerana sudah bertahun-tahun disimpan dalam gudang. Lebih elok dilelong dan digunakan untuk membayar kos ganti rugi Seri Perdana yang dirosakkan.

Jadi, sekiranya Najib tidak berpuas hati dengan kos yang akan terpaksa dikeluarkan kerajaan untuk membaiki Kompleks Seri Perdana, bukankah lebih baik beliau menawarkan untuk menampung sedikit kos baik pulih itu memandangkan sudah mendapat semula wang RM114 juta.

Tak perlulah menunding jari kepada mana-mana individu, sama seperti isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidaklah perlu menunding jari kononnya ditipu seorang ahli perniagaan, Jho Low walhal saksi-saksi pendakwaan di mahkamah sudah bercerita hal sebenar.

Kompleks Seri Perdana ini dibina pada 1997 dan siap pada 1999, di atas tapak seluas 42.5 ekar mengikut kontur anak bukit dengan mengekalkan struktur geografi alam semula jadi selaras dengan konsep perancangan Putrajaya sebagai sebuah Bandaraya Taman.

Kos pembinaannya juga mencecah puluhan juta ketika itu, malah kompleks sebesar itu juga pastinya memerlukan penyelenggaraan dan penjagaan yang menelan belanja tinggi. Jurutera pembinaan pasti tahu kos dan belanja yang diperlukan untuk memastikan bangunan sebesar itu dapat bertahan lama.

Bagaimanapun selepas Pakatan Harapan (PH) menang di Putrajaya, mereka tidak pernah mengambil tahu atau sekurang-kurangnya cuba meneliti aset milik kerajaan yang sangat bernilai tersebut.

Mungkin kerana waktu itu kerajaan PH terlalu sibuk mengendalikan hutang-hutang 1MDB yang ditinggalkan oleh bekas PM waktu itu.

Untuk rekod, Seri Perdana bukan dibina oleh Muhyiddin, malah PM Kelapan tersebut tidak pernah menetap atau mengadakan sebarang acara rasmi disitu sepanjang menjadi pemimpin nombor satu negara.

Cadangan untuk membalik pulih juga datang daripada agensi bertanggungjawab yang mengendalikan aset kerajaan itu, pastinya aset kerajaan perlu dijaga dengan baik selepas hampir beberapa tahun ditinggalkan begitu sahaja.

Tiada ulasan: