Rakyat Kelantan boleh luah perasaan di sudut pidato
Ramli Yamat
KOTA BHARU- Di negara-negara maju kewujudan sudut pidato (speaker corner) sudah menjadi perkara lazim. Begitu juga di Kelantan ruangan serupa diwujudkan sejak Kelantan ditadbir di bawah PAS.
Namun sudut pidato yang diwujudkan di Laman Hijau tidak jauh daripada Masjid Muhammadi tidak berfungsi lama.
Dan kini sudut pidato versi baru diwujudkan kembali Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya (MPKB BRI) yang dialih ke lokasi lebih strategik.
Ruang ligar tingkat bawah Pasar Raya KB Mall di Jalan Hamzah menjadi pilihan kepada pihak urusetia iaitu Jabatan Pembangunan Islam MPKB-BRI.
Ketua Bahagian Dakwah jabatan terbabit, Ustaz Wan Sharafi Wan Mustaffa Rusdi berkata, sudut pidato memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk berucap di pentas terbuka.
“ Selain itu turut disediakan acara membaca sajak. Dan ketika majlis pelancarannya baru-baru acara pertunjukan fesyen lelaki oleh pelakon filem Sembilu Kasih, Zed Zaidi juga diadakan,” katanya di sini.
Selain itu tiga penceramah dijemput iaitu seorang pensyarah Ustaz Fadhli Saari dan dua pelajar termasuk seorang berbangsa Cina dari Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) menyampaikan syarahan.
Perasmian Speaker Corner itu disempunakan anggota Exco kerajaan neeri, Datuk Takiyuddin Hassan. Hadir sama Yang Dipertua MPKB-BRI, Haji Shafie Ismail.
Takiyuddin berkata, langkah mewujudkan kembali sudut pidato diharap dapat memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang berkebolehan untuk meluahkan perasaan mereka di pentas disediakan.
“ Program speaker corner ini, sangat molek kerana ia terbuka kepada semua belia, cendikiawan dan pelajar untuk meluahkan perasaan mereka berhubung perkembangan semasa, “ katanya.
Program speaker corner mula diperkenalkan Ketua Bahagian Pembangunan Islam MPKB BRI ketika itu, Ustaz Wan Hassan Wan Othman pada 1995. - mj _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan