Intan Abdullah
KUALA LUMPUR - Situasi dalaman Umno-BN dijangka lebih gawat dengan kehadiran semula bekas Presidennya, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Walau bagaimanapun, Bendahari PAS, Dr Mohd Hatta Ramli menyatakan bahawa beliau tidak pasti Majlis Tertinggi Umno akan menerima semula bekas Perdana Menteri itu.
"Kita tidak menolak kemungkinan tindakan Mahathir telah dipujuk oleh veteran Umno yang kurang bersetuju dengan corak dan cara pemerintahan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Termasuk kelompok Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin yang mula menyerang Abdullah dengan kenyataan yang telah berjaya menimbulkan kenyataan Presiden Umno itu," katanya kepada Harakahdaily semalam.
Dr Hatta yang juga ahli Parlimen Kuala Krai turut mempersoalkan mengenai tindakan Mahathir yang keluar masuk parti berteraskan bangsa itu.
"Itu adalah hak dia hendak pilih parti apa, cuma kita bertanya apa alasan dia keluar Umno dahulu?"
"Mungkin sebab dia tidak setuju dengan pemerintahan Abdullah atau dia telah kecewa,"ujarnya.
Katanya, banyak yang beranggapan tindakan Mahathir dahulu didorong oleh rasa tidak puas hati terhadap Abdullah.
Tambahnya, keadaan Umno-BN kini semakin kronik dan kritikal selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu yang menyaksikan kemerosotan sokongan rakyat terhadap kerajaan yang sedia ada, selain krisis dalaman parti tersebut yang kian retak./wann _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan