Pakatan Rakyat
Ketua Umum KeADILan Anwar Ibrahim melahirkan rasa kekesalan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang gagal mengambil sebarang tindakan setelah lapan bulan laporan dibuat.
Menurut Anwar sehingga kini tiada tindakan diambil keatas pembabitan Peguam Negara, Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Musa Hassan yang dikatakan memalsukan bukti penyiasatan kes mata lebam beliau pada tahun 1998.
“Saya kesal kerana setelah hampir lapan bulan laporan dibuat, tiada sebarang tindakan yang diambil SPRM,” katanya kepada media pagi ini.
Menurutnya, beliau masih meragui dengan siasatan yang dilakukan kerana Peguam Negara sendiri terlibat dalam kes berkenaan.
“Selain itu, saya diberitahu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Aziz bahawa kertas siasatan tersebut sudah pun berada di Kamar Peguam Negara.
“Kita merasa ragu akan kebebasan siasatan tersebut kerana Peguam Negara sendiri terbabit sebagai mereka yang berkonspirasi memalsukan bukti,” katanya.
Anwar berkata sedemikian selepas membuat laporan polis kedua berhubung pembabitan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang dikatakan memalsukan bukti penyiasatan kes mata lebam beliau pada tahun 1998.
Laporan berkenaan dibuat kira-kira jam 11.30 pagi di Balai Polis Damansara dan ditemani peguam beliau yang juga Naib Presiden KeADILan Sivarasa Rasiah.
Dalam laporan yang dibuat hari ini, Anwar berkata beliau menambah maklumat berhubung pembabitan Abdul Gani dan Musa dalam memalsukan laporan polis mengenai penahanan beliau yang dilakukan oleh ACP Koh Hong San pada 21 September 1998.
“Laporan tersebut menyatakan saya ditahan di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), bukannya kerana kes tuduhan liwat seperti yang dinyatakan oleh Koh beberapa jam sebelumnya di rumah saya.
“Ini dilakukan kerana mereka bertujuan menyembunyikan kecederaan saya daripada diketahui umum serta memastikan saya tidak perlu dihadapkan ke mahmakah sesegera mungkin,” katanya.
Anwar telah ditahan pada 20 September 1998 dan telah dibawa ke Bukit Aman sebelum dipukul oleh Ketua Polis Negara ketika itu, Rahim Noor sehingga menyebabkan kecederaan teruk dibeberapa bahagian badanya termasuk matanya yang lebam.
Ketika itu Musa menjawat jawatan pegawai penyiasat yang mengendalikan kes terhadap Anwar sementara Gani pula adalah ketua pendakwaraya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan