BERNAMA
JOHOR BAHARU: Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) memberi jaminan bahawa perhimpunan raksaksa yang dicadang diadakan di hadapan Istana Negara pada 7 Mac depan adalah secara aman, kata penolong setiausaha gerakan itu, Suhaizan Kaiat semalam.
Gerakan itu bercadang mengadakan perhimpunan seramai 100,000 orang bagi membantah pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).
Bercakap pada satu sidang media, Suhaizan berkata gerakan itu, yang masih belum memohon permit bagi mengadakan perhimpunan itu, yakin polis akan meluluskan permit kerana perhimpunan itu tidak ganas atau akan menyebabkan rusuhan.
"Takkan orang seperti Datuk A. Samad Said mahu merusuh," kata Naib Pengerusi GMP, Prof Emeritus Dr. Abdullah Hassan yang merujuk Sasterawan Negara itu bakal menyertai perhimpunan itu nanti.
A. Samad yang turut hadir berkata pelaksanaan dasar itu melanggar Perkara 152 (1) dan 152 (6) Perlembagaan Persekutuan berkaitan penggunaan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu untuk semua.
"Kita tidak menentang penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu tetapi ingin menuntut apa yang termaktub di dalam Perlembagaan iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa yang menyatupadukan rakyat," katanya.
Ahli jawatankuasa gerakan itu, Ainon Mohd berkata pelaksanaan dasar itu tidak memberikan justifikasi kepada pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.
Apa yang patut dilakukan kerajaan, kata beliau ialah meningkatkan kualiti bahasa Inggeris di kalangan guru dan menyediakan makmal bahasa di setiap sekolah bagi meningkatkan penguasaan bahasa di kalangan murid-murid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan