HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 Februari 2009

Lelaki dakwa jadi mangsa pukul polis

Oleh HADZLIHADY HASSAN


KUALA LUMPUR: Kerana tidak berpuas hati dan mendakwa menjadi mangsa pukul ketika dalam tahanan polis, seorang lelaki membuat laporan berhubung kejadian itu di pondok polis Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), kelmarin.

Lelaki terbabit berusia lingkungan 30-an mendakwa dia mengalami kecederaan di bahagian tengkuk, tangan dan kaki ketika disoal siasat sekumpulan anggota polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, berkata lelaki itu direman pada 22 hingga 28 Januari lalu bagi membantu siasatan dalam kes samun.

Menurutnya, pada 26 Januari, lelaki terbabit yang juga mempunyai dua rekod jenayah lampau kemudian mengadu yang dia mengalami kesakitan sebelum mendapatkan rawatan di HTJS.

“Ketika mendapatkan rawatan, laporan perubatan yang dikeluarkan doktor mengesahkan ada kesan kecederaan di bahagian tengkuk, tangan dan kakinya.

“Namun lelaki terbabit juga memberitahu doktor yang dia pernah mengalami kemalangan kira-kira setahun lalu dan turut cedera di bahagian tengkuk serta kaki,” katanya ketika ditemui di Kelab Golf Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Taman Tasik Titiwangsa.

Beliau berkata, lelaki terbabit kemudian dibebaskan pada 28 Januari sebelum dia membuat laporan polis dua hari selepas itu.

Menurut Osman, setakat ini polis masih menyiasat kes berkenaan dan laporan perubatan yang dikeluarkan itu hanyalah satu laporan awal yang diberikan doktor.

“Kita masih belum dapat laporan lengkap mengenainya dan ia hanya boleh diperolehi dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) Jun ini.

“Namun, kita akan cuba mempercepatkan tempoh untuk mendapatkan laporan lengkap perubatan itu,” katanya.

Osman berkata, jika laporan perubatan mengesahkan kecederaan yang dialami lelaki itu akibat dipukul ketika dalam tahanan polis, tindakan sewajarnya akan dikenakan kepada pegawai dan anggota yang terbabit.

“Kita akan menyiasat kes ini secara telus dan teliti... tujuan saya membuat sidang media ini adalah untuk mengelak sebarang spekulasi yang mungkin akan timbul selepas ini.

“Selain itu, kita juga tidak mahu ada orang yang berkepentingan mungkin akan mengambil kesempatan dalam kes ini,” katanya lagi.

Tiada ulasan: