HALAMAN SANTAI

Jumaat, 20 Mac 2009

PANTAU AKTIVITI ANAK TEROKA ALAM SIBER

cyberita online


RAMAI ibu bapa tahu dan sedar bahawa anak mereka sedang menggunakan Internet apabila duduk di hadapan komputer.

Tapi tahukah anda apa yang dilakukan oleh anak anda di ruangan sesawang (world wide web) dunia itu? Cik Jumaliya Yahya, 52 tahun, kurang pasti.

'Saya tahu dia perlu buat kerja sekolahnya di komputer... di Internet.

'Takkan lah dia buat perkara tak baik...' ujar suri rumah tangga itu apabila ditanya tentang pengetahuannya akan apa yang dilakukan anaknya yang berusia 15 tahun di Internet.

Namun laporan Online Living oleh Symantec tahun lalu mendedahkan bahawa seorang daripada lima kanak-kanak berusia antara lapan dengan 17 tahun mengaku melakukan perkara yang tidak akan dibenarkan oleh ibu bapa mereka semasa berada di alam siber.

Salah satu daripada punca masalah ini adalah kurang pengawasan oleh ibu bapa yang sibuk mencari nafkah atau sebagainya. Situasi ini namun berubah sedikit tahun ini.

Sebanyak 20 peratus daripada ibu bapa yang terlibat dalam kajian Symantec tahun lalu memberitahu bahawa mereka pernah 'menangkap' anak-anak mereka melakukan perkara yang tidak dibenarkan di Internet.

Statistik ini namun tidak harusnya menghairankan - lebih ramai ibu bapa yang mengawas secara senyap perbuatan anak-anak mereka (33 peratus) tahun lalu berbanding dengan tahun sebelumnya.

Pendedahan itu diterbitkan dalam laporan Online Living 2009 yang diedarkan kepada media awal minggu ini.

Ia melibatkan 1,297 ibu bapa yang mempunyai anak berusia antara lapan dengan 17 tahun serta 2,614 kanak-kanak yang menghabiskan masa sekurang-kurangnya sejam di Internet setiap bulan.

Tinjauan itu melibatkan 12 negara seperti Amerika Syarikat, Canada, United Kingdom, Perancis, Jerman, Italy, Sweden, China, Jepun, India, Australia dan Brazil.

Singapura tidak termasuk dalam kajian ini namun trend ini turut mencerminkan situasi penggunaan Internet di Singapura, menurut Encik Effendy Ibrahim, Ketua Perniagaan Norton di kawasan Selatan Asia.

'Kenaikan penularan Internet dan perkembangan badan-badan Internet Singapura... memberi gambaran bahawa keluarga di Singapura mempunyai ciri-ciri yang selari dengan ciri-ciri sesebuah keluarga-e,' beritahunya, juga seorang bapa, menerusi e-mel.

Secara kasar, sesebuah keluarga-e adalah keluarga yang mempunyai hubungan rapat dan mempunyai kadar kegunaan Internet yang tinggi.

Satu cara mengekang anak-anak daripada melakukan kegiatan tidak diingini di Internet adalah dengan usaha gigih ibu bapa.

Ibu bapa sebenarnya memikul peranan utama untuk mendidik anak- anak mereka tentang isu keselamatan di Internet dan sebagainya. Kebanyakannya namun tidak tahu di mana hendak bermula.

Aksi meletakkan komputer di satu kawasan yang mudah dipantau, seperti ruang tamu rumah, tidak begitu berkesan, menurut Encik Effendy, di sidang puncak Norton baru-baru ini.

Sebaliknya, ibu bapa boleh memaklumkan syarat-syarat menggunakan Internet dengan cara yang lebih difahami kanak-kanak mereka. Bahkan, ibu bapa juga perlu tahu dan faham akan apa yang dilakukan atau disaksikan oleh anak-anak mereka di laman siber.

Tetapkan undang-undang

Undang-undang menggunakan Internet di rumah harus ditetapkan dengan cara yang tidak mengherdik tetapi tetap berkesan.

Satu cara adalah berbual-bual dengan anak-anak anda tentang siapa rakan-rakan siber mereka, di mana mereka pergi di sesawang sedunia dan apakah kegiatan mereka semasa di hadapan komputer.

Gunakan sofwe kawalan keselamatan Internet yang menerapkan kawalan ibu bapa

Cara ini memberikan anda cara mudah memantau setiap destinasi siber yang dilawati anak-anak anda dan memberikan anda rekod hitam putih jika anak anda melawati halaman yang tidak diingini.

Sertai kegiatan siber anak-anak anda. Anda perlu meluangkan masa dan berusaha mendalami kehidupan mereka di alam siber.

Jika mampu, tubuhkan akaun Facebook anda sendiri. Sertai mereka dalam perbualan mesej segera (IM) dan anda akan terkejut dengan keberkesanan cara ini untuk membantu anda mendekati anak anda.

Tiada ulasan: