HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 Mei 2009

Umno Kelantan lantik bapa angkat jaga sembilan peti undi

BERNAMA


KUALA KRAI: Umno Kelantan akan melantik wakil untuk dijadikan ‘bapa angkat’ bagi menjaga sembilan peti undi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed, berkata sembilan wakil itu akan dipilih daripada Umno bahagian di negeri ini bagi menjaga kawasan peti undi berkenaan.

"Ia bertujuan menguatkan lagi kedudukan Umno di kawasan DUN dalam menghadapi pilihan raya kecil Manek Urai," katanya selepas menziarahi keluarga Ismail Yaacob, wakil rakyat kawasan itu yang meninggal dunia Jumaat lalu, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Umno Kelantan akan menggembleng seluruh tenaga dari luar dan dalam negeri untuk memberi tumpuan pada pilihan raya kecil itu dan pelbagai rancangan diatur bagi memantapkan kedudukan Umno di kawasan DUN itu dan Kelantan, umumnya.

Kerusi DUN Manek Urai kosong berikutan kematian penyandangnya, Ismail dari Pas akibat sakit jantung.

Ismail dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II sejak April lalu.

Pada pilihan raya umum lalu, Ismail menewaskan calon BN, Mohamed Zulkifli Omar dengan majoriti 1,352 undi.

Tiada ulasan: