UTUSAN ONLINE
KOTA BHARU - Sejak virus Influenza A (H1N1) melanda dunia, pintu masuk sempadan Malaysia - Thailand di Rantau Panjang dan Thailand lengang apabila orang ramai mula merasa bimbang dijangkiti virus tersebut.
Pengarah Imigresen Kelantan, Baharom Hamzah berkata, jumlah tersebut menurun secara mendadak dengan purata keluar masuk sekitar 2,000 orang sehari berbanding 10,000 orang sebelum ini.
Beliau menjelaskan, keadaan tersebut bukan sahaja disebabkan oleh virus berkenaan tetapi melibatkan faktor keselamatan sehingga orang menjadi bimbang untuk pergi ke negara jiran.
''Kawasan sempadan kini agak lengang dan sunyi kerana kekurangan orang ramai yang keluar masuk kerana bimbang virus berkaitan menjangkiti mereka dan merebak ke negara ini. Nampaknya isu berkaitan penyakit tersebut memberi kesan yang besar kepada kita semua.
''Kemasukan ke negara Thailand juga berkurangan disebabkan faktor keselamatan apabila rakyat tempatan bimbang dengan ancaman berlaku letupan di negara tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai keadaan di pintu masuk sempadan ekoran daripada tersebarnya wabak H1N1 ke seluruh dunia termasuk negara ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di Kompleks Kastam dan Kuarantin (CIQ) Rantau Panjang mendapati keadaan di situ lenggang dan kesemua petugas memakai penutup mulut.
Malah setiap pengunjung terutama dari negara yang terjejas teruk akibat serangan wabak tersebut dikenakan pemeriksaan kesihatan yang ketat.
Baharom berkata, pihaknya telah meningkatkan pemeriksaan terhadap pelancong dan orang ramai yang masuk ke negara ini atau keluar ke Thailand bagi mengelak jangkitan virus H1N1 .
''Kita dengan kerjasama Jabatan Kesihatan telah membuka pusat kesihatan dan kuarantin sementara di Rantau Panjang, sesiapa sahaja orang awam sama ada rakyat tempatan atau pelancong yang masuk dan keluar melalui pintu masuk di sempadan akan diperiksa kesihatan mereka.
''Kalau di sempadan Rantau Panjang, sejak pukul 6 pagi hingga 10 malam jabatan kesihatan membuka pusatnya manakala di Pengkalan Kubor bermula pukul 6 pagi hingga 7 petang.
''Selain diperiksa tahap kesihatan, pasport mereka turut diteliti sama ada pernah ke negara-negara yang pernah mencatat jangkitan influenza A kerana selain penduduk tempatan, pelancong-pelancong yang mengembara dengan berjalan kaki juga sering melalui kawasan sempadan," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang mengalami demam supaya tidak berlengah-lengah untuk ke pusat kesihatan bagi menjalani rawatan dan tidak menunggu sehingga keadaan menjadi teruk dan memudaratkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan