UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - 'Samseng jalanan' akan menggantikan istilah 'mat rempit' bagi mengelak publisiti dan pembentukan identiti kepada golongan berkenaan.
Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, keputusan tersebut dicapai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada mesyuarat pasukan itu di Pulau Pinang baru-baru ini.
Beliau turut meminta pihak media dan pengeluar filem agar tidak mengagung-agungkan golongan berkenaan dengan memberi publisiti keterlaluan.
"Polis tidak mahu mempopularkan istilah mat rempit kerana tidak mahu golongan itu mempunyai identiti sendiri dan bangga dengan istilah tersebut.
"Masyarakat, media serta pengeluar filem juga disaran tidak mengagung-agungkan istilah mat rempit," katanya pada sidang akhbar di Dataran Merdeka di sini hari ini.
Menurut Abdul Aziz, penggunaan istilah dan penghasilan filem aktiviti samseng jalanan pada pendapatnya dapat menggalakkan lagi kegiatan tidak bermoral di kalangan belia negara ini.
Katanya, langkah pencegahan dan penguatkuasaan yang berterusan diadakan pihak berkuasa tidak akan berjaya sekiranya tidak mendapat kerjasama daripada semua pihak.
"Semua pihak termasuklah ibu bapa juga memainkan peranan penting seperti memantau pergerakan anak mereka daripada terjebak dalam sebarang aktiviti tidak bermoral.
"Selain itu, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menyedarkan golongan muda bahawa kegiatan terbabit tidak berfaedah dan merugikan diri sendiri serta masa depan," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan