UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Golongan kontraktor kelas F daripada bekas anggota tentera ditawarkan 125 projek pembangunan di bawah Kementerian Pertahanan (Kementah) melalui fasa pertama pakej Rangsangan Ekonomi 2009.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesemua projek itu melibatkan pembinaan serta penambahbaikan aset seperti di kem-kem tentera seluruh negara.
''Projek-projek itu ditawarkan khusus kepada kontraktor Kelas F yang terdiri daripada bekas anggota tentera bagi menjamin pendapatan mereka dalam bidang pembinaan yang diceburi,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Cabutan Undi Bagi Projek Pakej Rangsangan Ekonomi 2009 Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Abu Bakar Abdullah.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, kontraktor yang gagal mendapat projek pembangunan tersebut akan diundi dalam fasa seterusnya.
Pada majlis itu, beberapa kontraktor berdaftar dengan kementerian tersebut bernasib baik menerima 34 kontrak yang bernilai RM2 juta, manakala kontraktor lain pula akan diundi dalam fasa seterusnya pakej berkenaan.
Sementara itu, Abu Bakar berkata, sebanyak 1,803 projek kementerian bernilai RM113 juta di bawah pakej itu telah mula dilaksanakan.
Menurutnya, daripada keseluruhan projek itu, sebanyak 296 projek bernilai RM16.2 juta berjaya disiapkan, manakala 834 projek dalam pelaksanaan dan 531 projek lagi sedang ditawarkan.
"Pengumuman penganugerahan kontrak ini dijangka selesai Julai depan dan menjelang September nanti, pembayaran dijangka mencapai RM128 juta," katanya.
Beliau memberitahu, kementerian itu diberi tambahan sebanyak RM27 juta lagi bagi melaksanakan 10 projek pembangunan yang dikenal pasti sebelum ini di bawah pakej Rangsangan Ekonomi Kedua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan