BERITA HARIAN ONLINE
KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) berpendapat sistem pembayaran gaji secara terus kepada pembantu rumah asing yang diamalkan majikan sejak sekian lama berasaskan prinsip saling mempercayai dan bersifat mesra kekeluargaan serta tidak perlu diubah.
Sehubungan itu, MEF mencadangkan kerajaan membentuk pelan jangka panjang untuk menjaga hak kepentingan bersama majikan dan pembantu rumah asing di negara ini supaya tidak ada pihak teraniaya.
Pengarah Eksekutifnya, Shamsuddin Bardan, berkata setakat ini tindakan diambil pihak berkuasa berkaitan isu pembantu rumah asing di negara ini lebih kepada langkah ad-hoc.
Oleh itu, katanya, kerajaan perlu mengkaji dengan teliti cadangan mewajibkan majikan membuka akaun bank kerana ia boleh menimbulkan lebih banyak kesulitan dan masalah apabila semua majikan terpaksa pergi ke bank setiap bulan.
Beliau berkata, kerajaan dan Kementerian Sumber Manusia perlu sedar sistem kerja pembantu rumah tidak sama dengan kerja konvensional di pejabat, kilang atau restoran yang mengikut waktu dan pekerjanya tidak tinggal sebumbung dengan majikan.
Katanya, sistem kerja pembantu rumah adalah dalam satu institusi kekeluargaan kerana mereka tinggal bersama majikan yang berpegang kepada prinsip saling mempercayai.
“Jika majikan diwajibkan membuka akaun hanya untuk membayar gaji pembantu rumah, banyak masalah akan timbul dan membebankan majikan termasuk pembantu rumah terpaksa pergi ke bank untuk ambil gaji.
“Bayangkan jumlah majikan hampir sama dengan pembantu rumah asing yang dianggar 350,000 terpaksa ke bank setiap bulan, sudah pasti banyak masa terbuang.
“Kalau berlaku hanya 10 majikan tidak bayar gaji pembantu rumah daripada lebih 350,000 majikan, syarat baru mewajibkan majikan membuka akaun bank untuk dijadikan bukti mereka membayar gaji setiap bulan ketika memohon sambungan Pas lawatan Kerja Sementara (PLKS) adalah tidak munasabah,” katanya di sini, semalam.
Semalam Berita Harian melaporkan semua majikan yang mahu memperbaharui permit kerja bagi pembantu rumah asing, akan disyaratkan mengemukakan buku akaun bank sebagai bukti gaji pekerja mereka itu dibayar secara teratur setiap bulan.
Langkah itu bagi memastikan pembantu rumah asing tidak menjadi mangsa majikan yang mengambil kesempatan melengahkan pembayaran gaji atau langsung tidak membayar gaji.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan