Oleh ALI MAHMOOD
BENTONG - Hati ibu bapa mana yang tidak sayu dan sedih apabila anak yang dilahirkan tidak normal seperti bayi lain.
Namun Syukur Rani, 48, dan isterinya, Fatimah Abdul Jalil, 40, dari Kampung Chegar Medang, dekat sini bagaimanapun reda dengan ketentuan bahawa bayi mereka dilahirkan tanpa lubang dubur manakala sistem pundi kencing pula berada di luar badan.
Menurut Syukur, anak kesepuluhnya itu yang kini berusia dua bulan dilahirkan di Hospital Bentong pada 7 Mei lalu.
Katanya, sehari selepas dilahirkan, Mohd. Shahril Ikhwan dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pembedahan saluran najis.
"Saya dan isteri terima takdir Tuhan dengan penuh reda. Doktor telah menjalankan pembedahan meletakkan saluran najis di kanan perut anak saya manakala sistem pundi kencing yang terkeluar dimasukkan semula ke dalam badan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Syukur seorang pemandu lori berkata, doktor memaklumkan bahawa anaknya boleh kembali hidup seperti kanak-kanak lain dengan melalui beberapa lagi pembedahan.
Menurutnya, pembedahan kali kedua akan dijalankan pada 18 Ogos ini di HKL sebelum disusuli beberapa lagi pembedahan.
Sementara itu, Fatimah berkata, dia sentiasa menjaga kebersihan bayinya itu untuk mengelakkan jangkitan kuman memandangkan saluran najis anaknya itu berada di luar badan.
Katanya, sebaik mendapat tahu anaknya itu bermasalah, dia begitu sedih dan sentiasa berdoa agar bayinya selamat serta mampu menjalani kehidupan seperti manusia normal yang lain.
Dia bagaimanapun bersyukur apabila Mohd. Shahril seakan-akan tabah menghadapi masalahnya dengan kerana hanya menangis apabila lapar.
Sementara itu, masalah dihadapi pasangan itu mendapat perhatian jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Chegar Medang dan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bentong, Datuk Khairudin Yaakob.
Timbalan Pengerusi KRT Chegar Medang, Zainal Alias berkata, selepas mengetahui masalah yang menimpa keluarga itu, mereka menghulurkan bantuan perbelanjaan berulang-alik ke HKL semasa pembedahan pertama.
Menurutnya, pihaknya akan berusaha memastikan kebajikan keluarga itu akan terus terbela.
Khairudin pula berkata, pihaknya juga akan membawa perkara tersebut kepada pengetahuan Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang juga Menteri Kesihatan dan kerajaan negeri supaya bantuan sesuai dapat diberi bagi meringankan beban keluarga ini.
"Kita harap keluarga ini bersabar menempuh ujian dan sentiasa berdoa agar semuanya kembali seperti biasa," katanya.
Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga itu boleh menghubungi 017-9066340.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan