HALAMAN SANTAI

Rabu, 1 Julai 2009

Dua tahun dibayar gaji RM5 sehari?

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Tujuh warga India yang datang ke negara ini mulanya memasang impian untuk mencari rezeki.

Namun, rezeki yang dicari di rantau orang itu tidak semudah yang mereka sangkakan. Mereka yang digaji sebagai tukang gunting rambut mendakwa, menjadi mangsa majikan yang tamak mengejar keuntungan.

Sejak dua tahun lalu, mereka mendakwa tidak dibayar gaji dan hanya diberi RM5 sehari untuk membeli makanan serta berkongsi sebuah bilik yang sempit bersama sembilan lagi pekerja asing lain.

Difahamkan, mereka akan dipukul dengan kayu setiap kali meminta gaji sebanyak RM900 sebulan. Malah, permit dan pasport mereka turut diambil oleh majikan masing-masing.

Kesemua tujuh pekerja terbabit yang berusia antara 20 hingga 28 tahun tiba di negara ini pada 2006 dari Madurai, India.

Mereka kemudiannya ditempatkan di sebuah kedai gunting rambut di Pulau Pinang.

Disebabkan tidak tahan dengan sikap majikan premis tersebut, mereka nekad melarikan diri selepas dibantu oleh seorang pelanggan dengan menaiki bas ke ibu negara, tengah malam kelmarin.

Pelanggan terbabit, S. Raymond Raman, memberitahu, dia membuat aduan di Pejabat Suruhanjaya Tinggi India serta satu laporan polis berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi petang semalam.

"Kesemua pekerja berkenaan menuntut bayaran gaji, levi ketika bekerja di kedai gunting rambut majikan mereka selain tuntutan kos untuk pulang semula ke India.

"Mereka turut meminta dikembalikan semula permit dan pasport mereka yang kini telah tamat tempoh," katanya ketika ditemui di hadapan Pejabat Suruhanjaya Tinggi India, hari ini.

Katanya, sebelum ini, ketujuh-tujuh pekerja asing itu cuba melarikan diri tetapi tidak berjaya dan mereka takut sebarang kejadian tidak diingini berlaku kerana tidak memiliki permit dan pasport di negara ini.

Raymond berkata, pihak Imigresen mendapati nombor pasport pekerja-pekerja asing terbabit tidak pernah didaftarkan.

Sehubungan itu, dia yang mewakili ketujuh-tujuh pekerja itu menggesa satu tindakan serius oleh Suruhanjaya Tinggi India berhubung tuntutan yang dikemukakan oleh rakyat negara itu.

Tiada ulasan: