HALAMAN SANTAI

Rabu, 1 Julai 2009

Integriti: Dua anggota polis tolak rasuah RM500,000

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Gaji anggota polis biasa bukanlah begitu besar namun Detektif Koperal Mohd. Surani Sarbini dan Lans Koperal Mohd. Tarmazi Arbayee tidak pernah gelap mata apabila ditawarkan rasuah termasuk wang tunai RM500,000.

Salah seorang daripada suspek yang ditahan sempat berkata kepada mereka "awak ambillah wang di dalam poket seluar saya ini, ada RM10,000 dan akan serahkan lagi RM500,000 kemudian, tolong lepaskan saya dan kawan saya".

Namun berpegang atas prinsip integriti, mereka menolak tawaran rasuah itu dan membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut.

Ketegasan mereka itu telah menggagalkan cubaan pengedaran dadah jenis syabu yang terbesar di negara ini.

Kejadian itu berlaku pada 2 Mei lalu apabila kedua-dua anggota polis itu menahan sebuah lori yang mencurigakan dan hasil pemeriksaan mendapati ia membawa kotak dan bungkusan mengandungi syabu seberat 978 kilogram dengan nilai RM280 juta.

Hari ini kedua-dua mereka mendapat penghargaan tertinggi sejak menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila dianugerahkan Sijil Integriti yang ditandatangani sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sijil tersebut diserahkan Perdana Menteri dalam satu majlis ringkas di Bangunan Parlimen selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan hari ini.

Turut menyaksikan majlis itu ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan serta beberapa menteri Kabinet lain.

Mohd. Surani, 44, hampir menitiskan air mata dan begitu sebak apabila ditanya perasaannya apabila dianugerahkan penghargaan tersebut kerana begitu terharu tindakannya itu mendapat perhatian daripada pucuk pimpinan pasukan dan negara.

"Saya berpegang dengan integriti pasukan ini apabila menolak tawaran rasuah itu," katanya sambil menunjukkan lencana Integriti yang disemat pada pakaian seragamnya.

Menurutnya, beliau terharu kerana mendapat penghargaan yang begitu tinggi daripada Perdana Menteri.

"Saya harap rakan-rakan kami di luar sana akan menjadikan kami sebagai contoh," katanya.

Tarmazi, 25, yang baru lima tahun berkhidmat dengan PDRM berkata, demi integriti pasukan polis, tawaran rasuah itu ditolaknya.

"Ketika ditawar rasuah itu, saya hanya fikir saya mahu berkhidmat lama dengan pasukan ini," katanya.

Tindakan mereka itu juga menyebabkan polis berjaya menyita harta pengedar dadah terbabit yang bernilai RM22 juta termasuk wang tunai RM4 juta.

Sementara itu, Musa berharap anggota pasukannya bertegas menolak rasuah dan orang ramai juga tidak menawarkan rasuah kepada anggota polis.

Selain menerima sijil, cenderamata dan wang saguhati, kedua-dua anggota polis tersebut masing-masing dinaikkan pangkat kepada Detektif Sarjan dan Koperal.

Tiada ulasan: