HALAMAN SANTAI

Sabtu, 4 Julai 2009

Pencuri’ pasir boleh mohon tender

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – ‘Pencuri’ pasir di negeri Selangor kini diberi peluang mengemukakan permohonan untuk mendapatkan tender bagi melombong pasir secara sah.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari berkata, semua kawasan sungai di negeri ini diambil alih oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, Kumpulan Semesta Sdn Bhd, sebuah anak syarikat kerajaan negeri akan diberi tanggungjawab untuk mengendalikan aktiviti perlombongan di sungai-sungai berkenaan dengan kebenaran daripada Pejabat Daerah.

“Kumpulan Semesta Sdn Bhd akan mengeluarkan tender dan kontraktor-kontraktor yang berminat digalakkan untuk memohon.

“Menerusi tender ini, ‘pencuri’ pasir yang selama ini menjalankan kegiatan melombong pasir tanpa permit, juga dialu-alukan untuk turut serta memohon tender,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes kecurian pasir, yang melibatkan beberapa kawasan sungai di negeri ini.

Yaakob berkata, tawaran tender untuk aktiviti melombong pasir akan dibuka secara berperingkat bermula di Hulu Selangor.

“Setelah itu, tawaran tender akan dibuat di Hulu Langat, diikuti dengan Gombak, Kuala Langat, Sepang dan Petaling.

“Manakala bagi kawasan-kawasan lain, akan dilaksanakan selepas ini,” katanya.

Beliau juga sedia maklum mengenai kes kecurian pasir yang berlaku di Hulu Langat dan Kuala Langat, yang mana sebanyak 28 kawasan dikenal pasti sebagai tempat operasi ‘pencuri’ pasir.

Tiada ulasan: