HALAMAN SANTAI

Sabtu, 4 Julai 2009

Profesional tempatan diminta tulis buku

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Exco Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali menyeru para ilmuan dan profesional tempatan menyebarkan ilmu kepada masyarakat dengan menulis buku.

Menurut beliau, penulisan oleh cerdik pandai tempatan dengan pendekatan dan penerapan nilai-nilai murni pasti dapat menarik minat pembaca kita, sekali gus mengurangkan pengaruh asing kepada masyarakat.

“Kita tidak menyekat orang membaca buku oleh karyawan luar, tetapi dalam waktu yang sama saya suka sekiranya diperbanyakkan penerbitan buku-buku oleh para cendekiawan kita sendiri.

“Saya percaya di luar sana ramai profesional dalam berbagai-bagai bidang dapat berkongsi kepandaian dan pengalaman mereka menerusi penulisan buku,” kata beliau pada majlis ‘Sepetang Bersama Media’ di sini, semalam.

Majlis tersebut sebagai promosi Pesta Buku Selangor 2009 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) yang akan berlangsung 24 Julai – 3 Ogos di Kompleks PKNS di sini.

Dr Halimah yakin selain buku-buku popular seperti novel, buku-buku bacaan umum yang lain juga dapat menjana ilmu masyarakat dan kesannya ialah kita akan berupaya membentuk insan berbudaya ilmu yang diperlukan oleh negara.

Kata beliau, kerajaan serius dalam meningkatkan minat membaca di kalangan masyarakat, antaranya dengan menggalakkan orang ramai menjadi ahli perpustakaan negeri juga perpustakaan daerah.

Dengan mengunjungi perpustakaan gejala sosial seperti rempit, dadah dan sebagainya dapat dikurangkan, sebab masa mereka akan banyak dihabiskan dengan membaca.

“Penganjuran pesta buku seperti ini juga adalah satu cara untuk menggalakkan orang ramai cintakan buku,” katanya sambil berharap penerbit yang menyertai pesta kali ini memberi potongan harga yang menarik kepada pengunjung.

Sementara itu Pengarah PPAS, Mastura Muhamad memberitahu Pesta Buku Selangor 2009 mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan semua gerai pesta habis ditempah oleh penerbit.

Beliau menjangka jumlah pengunjung tahun ini akan melebihi angka tahun lalu iaitu 90,000 orang, memandangkan penerbit-penerbit tersohor akan menyertai pesta tahun ini termasuk Alaf-21, Karangkraf, PTS dan lain-lain.

“Minat membaca di kalangan masyarakat telah meningkat dan PPAS kini merekodkan jumlah keahlian seluruh negeri melebihi 877,000 orang. Kita akan terus berkempen untuk meningkatkan lagi bilangan keahlian termasuk di perpustakaan-perpustakaan daerah dan desa,” katanya.

Tiada ulasan: