SELAMA 40 tahun berkarya, sasterawan negara yang ke-10, Datuk Dr Anwar Ridhwan selalu menitikberatkan kualiti penulisan daripada kuantiti.
Jadi tidak hairanlah hasil kerjanya, walaupun sedikit tetapi mendapat tempat di hati pembaca.
Sepanjang pembabitan beliau dalam bidang penulisan, karyawan yang mempunyai peribadi yang disenangi ini, hanya menghasilkan beberapa buah buku cerpen, novel, cerita pementasan dan buku-buku kajian kesusasteraan secara individu.
Malah, jumlah keseluruhannya boleh dikira dengan jari, mungkin tidak sampai mencecah 20 buah.
Namun kehebatan penulisannya menjadi buah mulut hinggakan novel pertamanya yang berjudul Hari-hari Terakhir Seorang Seniman telah memenangi Hadiah Novel Gapena-Yayasan Sabah pada tahun 1979.
Sebuah lagi novel beliau, Arus (1985) memenangi Hadiah Sastera Malaysia pada 1984.
Antara cerpen yang ditulis oleh Anwar ialah Perjalanan Terakhir (1971), Dunia adalah Sebuah Apartmen (1973), Sesudah Perang (1976) dan Dari Kiev ke Moskova (1992).
Novelnya yang bertajuk Naratif Ogonshoto (Tales of Ogonshoto) telah memenangi dua anugerah antarabangsa iaitu Southeast Asia Writer’s Award di Bangkok pada tahun 2002 dan Literature Award oleh South East Asia Council of the Arts pada tahun yang sama.
Minat di dalam bidang penulisan mula bersemi sejak di bangku sekolah rendah lagi. Cita-cita beliau pada masa itu adalah untuk meletakkan satu sahaja buku hasil penulisannya di dalam rak perpustakaan sekolahnya.
"Saya juga berhajat untuk membaca semua buku yang ada di perpustakaan sekolah saya pada masa itu," katanya sambil ketawa.
LATAR BELAKANG
Anak kelahiran negeri Selangor ini merupakan anak bongsu daripada enam orang beradik-adik.
Ayahnya berkerja sebagai seorang petani manakala ibunya pula berkerja sebagai seorang bidan semasa beliau masih bersekolah.
menyampaikan Anugerah Sasterawan Negara Ke-10.
-Foto BERNAMA
Cerpen pertamanya yang mengisahkan tentang kesedaran awam diterbitkan ketika beliau berumur 16 tahun.
Karyawan negara yang dikuniakan tiga orang cahaya mata, berasa amat bangga kerana bakat penulisannya diwarisi anak bongsu.
"Anak perempuan bongsu saya suka menulis. Tetapi dia suka menulis dalam Bahasa Inggeris," ujar sasterawan yang berusia 60 tahun ini dalam satu temu ramah bersamanya semalam.
ANUGERAH SASTERAWAN NEGARA
Sementara itu, beliau bersyukur dan sangat gembira kerana dipilih sebagai sasterawan negara.
"Ini adalah satu tanggungjawab yang besar bagi saya. Namun saya amat berterima kasih kepada semua yang terlibat kerana memilih saya untuk menerima anugerah ini.
"Saya menganggap anugerah ini sebagai satu penghargaan sepanjang karier saya dalam bidang penulisan selama 40 tahun," tambahnya lagi.
Karyawan agung ini menyentuh mengenai unsur-unsur budaya yang popular dalam hasil penulisannya.
Anwar juga suka mengetengahkan bagaimana budaya masyarakat timur bertentangan dengan budaya barat dalam hasil karyanya.
KARIER
Beliau memulakan perjalanan kerjayanya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sehinggalah bersara pada tahun 2005.
Jawatan terakhirnya di DBP ialah Pengarah Penerbitan DBP.
Di antara tahun 1997-2000, Anwar dihantar ke Universiti of Foreign Studies di Tokyo sebagai ‘Visiting Professor.’
Kini, penulis hebat ini merupakan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan Malaysia.
LATAR BELAKANG PENDIDIKAN
Anwar belajar di Kampung Sungai Besar, Selangor sehingga tingkatan lima.
Beliau kemudiannya mendapat tempat di Sekolah Tinggi Sultan Idris Shah untuk melanjutkan pelajarannya dalam tingkatan enam dan seterusnya menyambungkan pelajaran di Kolej Perguruan Ungku Aziz, Sabak Bernam.
Dia memperolehi ijazah muda dalam jurusan Kesusasteraan Bahasa pada tahun 1973 dari Universiti Malaya.
Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran dalam bidang kesusasteraan Melayu dan menamatkan pelajarannya pada tahun 1983.
Sasterawan negara ini juga memperolehi ijazah kedoktorannya di menara gading yang sama. Anwar menamatkan penggajiannya pada tahun 1998.
Pencapaian sasterawan unggul ini amat dikagumi. Jika dulu, beliau hanya menyimpan hasrat untuk melihat satu buku karangannya di perpustakaan sekolahnya.
Tapi kini, Anwar boleh berbangga kerana buku-bukunya menjadi bahan rujukan dan disimpan di dalam perpustakaan Institut Pengajian Tinggi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan