HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 Oktober 2009

Joanna tidak sabar untuk mengikuti kursus perguruan

UTUSAN ONLINE


KUCHING - Tiada perkataan yang boleh menggambarkan kegembiraan Joanna Gilbert Asson, 29, apabila diterima semula sebagai pelatih kursus perguruan setelah diarah menarik diri kerana masalah fizikal.

Malah, Joanna ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini memberitahu bahawa dia tidak sabar untuk mendaftar semula bagi mengikuti kursus yang sepatut dihadirinya sebelum ini.

Beliau memberitahu, individu yang paling gembira mengetahui berita baik itu ialah kedua-dua ibu bapanya yang sentiasa menaruh harapan kepadanya untuk menjadi seorang guru.

''Saya dan keluarga berasa begitu gembira apabila menerima berita baik ini kerana peluang untuk saya menjadi guru akan tercapai.

''Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pelajaran yang begitu prihatin dengan masalah saya hingga dapat menyelesaikannya dalam tempoh yang singkat dan saya amat berpuas hati," katanya.

Sebelum ini, Joanna yang berkelulusan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) sepatutnya mendaftar pada 22 Jun lalu di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Rajang, Sarawak tetapi cita- citanya dihalang kerana gemuk.

Masalah Joanna turut menarik perhatian Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan Kementerian Pelajaran menolak sebarang unsur diskriminasi dalam proses pemilihan guru pelatih berdasarkan bentuk fizikal individu.

Dalam pada itu, Joanna memberitahu, pada masa ini, dia akan menunggu arahan selanjutnya daripada pihak kementerian berhubung pendaftaran semula sebagai pelatih di IPGM.

Bagaimanapun, Joanna enggan mengulas sama ada dia akan berasa janggal atau kekok sekiranya diminta mendaftar semula di IPGM Kampus Rajang di Bintangor, dekat Sibu.

''Perkara selanjutnya saya akan berbincang dengan Kementerian Pelajaran dan saya akan menerima apa jua keputusan mereka, selebihnya saya enggan mengulas pada masa ini," ujarnya.

Tiada ulasan: