HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 Oktober 2009

Ekonomi dijangka pulih 2010

BERITA HARIAN ONLINE


EKONOMI Malaysia pada 2009 yang dipacu perbelanjaan sektor awam dan penggunaan swasta yang lebih tinggi, dijangka beransur pulih pada 2010.

Justeru, teras dasar fiskal pada 2010 akan menumpukan kepada usaha memperkukuhkan dan mengekalkan proses pemulihan menerusi peningkatan permintaan dalam negara.

Aktiviti ekonomi akan ditingkatkan menerusi peningkatan kembali penggunaan dan pelaburan swasta serta memastikan semua projek dan program sektor awam di bawah pakej rangsangan ekonomi dan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) disiapkan mengikut jadual.

Susulan penguncupan ekonomi pada 2009 dan pemulihan sederhana pada 2010, hasil kerajaan persekutuan dijangka berkurangan 8.4 peratus kepada RM148.4 bilion. Sehubungan itu, jumlah perbelanjaan kerajaan akan berkurangan 11.3 peratus kepada RM189.5 bilion berbanding tahun ini.

Walaupun, kutipan hasil rendah, namun dengan perbelanjaan berhemat, kedudukan defisit kerajaan persekutuan dijangka bertambah baik kepada 5.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Perbelanjaan mengurus dijangka menurun dengan ketara sebanyak 13.7 peratus kepada RM138.3 bilion berikutan perbelanjaan lebih rendah dalam komponen utama subsidi iaitu RM20.9 bilion, bekalan dan perkhidmatan (RM20.8 bilion) serta geran badan berkanun (RM11.2 bilion).

Walaupun dengan pelaksanaan disiplin fiskal menerusi perbelanjaan tidak kritikal, kerajaan akan memastikan produktiviti dan kualiti penyampaian perkhidmatan awam tidak terjejas.

Peruntukan lebih rendah untuk subsidi, antaranya disebabkan ketiadaan subsidi jaminan makanan, pemberian rebat tunai, subsidi gula, tepung gandum dan roti.

Walau begitu, subsidi bahan api mendapat peruntukan lebih besar berjumlah RM10 bilion, meningkat 10.7 peratus susulan kenaikan harga minyak mentah.

Perbelanjaan pembangunan berjumlah RM51.2 bilion diperuntukkan pada 2010, yang mana 4.4 peratus lebih rendah berbanding 2009 berikutan projek yang dijadualkan siap di bawah RMK-9 telah dilaksanakan.

Tumpuan utama akan diberikan kepada usaha menyokong transformasi ke aras ekonomi berpendapatan tinggi melalui inisiatif swasta.

Peruntukan sektor perkhidmatan ekonomi akan digunakan untuk pengangkutan dan pembangunan infrastruktur yang berjumlah RM6.7 bilion, membina keupayaan perdagangan dan perindustrian sebanyak RM4.4 bilion, menggalakkan produktiviti pertanian pertanian dan merancakkan pembangunan luar bandar sebanyak RM3.1 bilion.

Kemudahan awam menerima peruntukan besar sebanyak RM3.7 bilion, sementara pembangunan lima wilayah koridor akan dipercepatkan dengan peruntukan RM3.5 bilion menerusi penumpuan kepada penyediaan infrastruktur, menambah baik sistem pengairan, saliran dan prasarana pertanian serta kemudahan pelancongan.

Pendidikan dan latihan, kesihatan, perumahan dan perkhidmatan kebajikan adalah keutamaan dengan peruntukan masing-masing sebanyak RM11.1 bilion, RM3.6 bilion, RM1.5 bilion dan RM2.6 bilion.

Tiada ulasan: