Oleh ZULKIFLI YAHAYA
Apabila seorang bukan Melayu mengkritik 'perangai' bangsanya sendiri yang dianggap keterlaluan dalam memperjuangkan bangsa mereka, sehingga (kononnya) bangsa bukan Melayu itu tidak menghormati perasaan penduduk pribumi negara ini; sebenarnya tidaklah dapat membebaskan perbuatan mengkritik tersebut dari sifat perkauman.
Undang-undang hanya berhak ditafsir oleh hakim. Tapi tiada pula kanun bertulis, mahupun tidak bertulis yang menghadkan bahawa maksud istilah dari aspek bahasa hanya berhak ditafsir oleh orang tertentu. Maka tentunya tiada satu tafsiran yang putus akan maksud perkauman.
Ada yang mentafsir perkauman sebagai hanya memperjuangkan bangsanya, tanpa memperdulikan bangsa lain. Tapi ada pula yang mentafsir perkauman sebagai sikap membenci bangsa lain, sekalipun tanpa perlu dia memperjuangkan bangsanya.
Apapun maksud sebenarnya perkauman, maka hakikatnya ia bukan dari ajaran Islam. Rasulullah s.a.w. dengan tegas bersabda: "Bukan dari kalangan umatku orang berjuang atas dasar asobiyah."
Maksud hadis ini sangat popular pada tahun 80-an, sebagai dalil bahawa Umno yang memperjuangkan 'perkauman' Melayu bukanlah parti yang memperjuangkan Islam.
Lebih jauh, ada segelintir ulama dalam PAS mentafsir 'bukan dari kalangan umatku' sebagai kafir dan 'asobiyah' sebagai perjuangan bangsa; seperti perjuangan sebuah parti rasuah yang menjadi tunggak dalam BN. Ekoran itu tercetuslah isu takfir.
Ulama-ulama parti rasuah mempertahankan bahawa perjuangan untuk bangsa bukan asobiyah dengan mengungkapkan maksud hadis yang bermaksud, "mencintai watan itu sebahagian dari iman."
Tuan Guru Abdul Hadi Awang membuat tafsiran yang lebih rasional terhadap maksud asobiyah. Katanya, sekiranya sesuatu kelompok itu meletakkan kepentingan bangsa lebih tinggi dari Islam maka ianya adalah asobiyah. Beliau mengambil contoh parti rasuah yang tidak pernah berkata atau bertindak apa-apa terhadap pihak yang mengkritik syariah Islam, seperti hukum hudud.
Malahan mereka turut bersekongkol membelasah hudud. Tetapi jika ada pihak yang mempertikaikan hak-hak istimewa Melayu, maka mereka segera melenting. Sikap meletakkan kepentingan bangsa lebih tinggi dari Islam inilah maknanya asobiyah.
Sejak akhir-akhir ini kita menyaksikan kecenderungan parti rasuah memperalatkan kalangan yang dianggap professional untuk mencanangkan isu perkauman, bagi memberi kredit terhadap parti rasuah yang sedang bergelut dalam nafaz nazak akibat terhakisnya sokongan rakyat.
Rakyat diajak bersimpati dengan parti rasuah yang kononnya sedang tersepit dengan tuntutan parti-parti politik bukan Melayu yang sedang bersatu dalam senyap.
Saya membenci sikap perkauman kerana Islam membencinya. Tapi bagi bukan Islam yang pastinya tidak mengamalkan Islam, bolehkah kita mengatakan sikap perkauman mereka salah? Dan perbuatan salah itu kita beritahu kepada bukan Melayu tersebut. Di kedudukan mereka segala tuntutan untuk survival mereka tentulah betul dan tiada salahnya.
Supaya tidak mahu terikut dengan perjuangan perkauman, dengan itu saya lebih senang mengungkapkan istilah umat Islam; yang sepatutnya dipersalahkan kerana lemah berpolitik berbanding pihak lain. Majoriti orang Islam di Malaysia (pastinya Melayu), sejak merdeka sehingga pilihan raya umum ke-13 adalah penyokong setia parti rasuah secara membuta tuli.
Rasuahlah pemimpin-pemimpin negara sebanyak mana yang mereka mahu, agihkanlah khazanah kekayaan negara untuk kroni mereka sahaja, serahkanlah kementerian penting kepada pihak lain, bunuhlah seramai mungkin umat Islam Memali, persendalah hukum syariah, tindaslah negeri-negeri yang dipimpin oleh parti yang tidak sehaluan dengan mereka, hancurkanlah sekolah agama rakyat, suburkanlah budaya hedonisme sehingga indeks jenayah meningkat berkali ganda, tangkaplah rakyat dengan sesuka hati tanpa bicara, lemahkanlah anak-anak umat Islam melalui pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, lemahkanlah umat Islam melalui asuhan mentaliti subsidi; maka datang pilihanraya mereka tetap akan pangkah BN. Cerdikkah sikap politik macam ini?
Lihat bangsa kedua terbesar di negara ini. Mereka tidak terikat menyokong satu-satu parti. Biasanya silih berganti setiap kali pilihanraya sama ada sokong BN atau pembangkang. Setiap kali BN hilang sokongan bukan Melayu, mereka kecut perut. Masa itulah mereka datang dengan pelbagai tuntutan demi mengangkat survival bangsa mereka. Kerana takut hilang kuasa, banyak tuntutan yang ditunaikan oleh pemimpin kerajaan dari parti rasuah.
Tapi umat dan bangsa terbesar di negara ini, langsung tidak bijak membuat 'ugutan politik'. Hina sungguh apabila mereka boleh dibeli hanya dengan sehelai kain batik, kain pelikat dan duit kopi RM50. Tampuk kekuasaan terus-terusan diberikan kepada golongan yang seluruh dunia tahu bahawa mereka adalah penggerak budaya rasuah, mengagihkan khazanah kekayaan negara sesama kelompok mereka sahaja.
Saya risau jika terdapat golongan cerdik pandai yang bersimpati dengan parti rasuah. Sikap lunak golongan cerdik pandai kepada parti rasuah sambil mengecam PAS kononnya hanya tahu mencari salah pemimpin parti rasuah, adalah pengkhianatan terbesar terhadap survival Islam serta umatnya di negara ini.
Percayalah umat Islam di negara ini akan lebih kuat, jika dapat meruntuhkan kuasa parti rasuah untuk pertama kali. Sekali mereka kalah di Pusat rangkaian kekuasaan mereka di peringkat akar umbi akan punah ranah. Juga bermakna rangkaian pembolotan khazanah kekayaan negara untuk diri dan kroni juga akan hancur lebur.
Umat Islam masih ada alternatif iaitu PAS dan orang Islam yang mendominasi KeADILan. Mereka mengganti tempat parti rasuah. Tentu mereka lebih baik dari pemimpin-pemimpin parti rasuah kerana tidak pernah 'ditarbiah' dengan amalan rasuah.
Andaikan selepas sepenggal Pakatan berkuasa, maka orang Melayu yang masih ketagih parti rasuah boleh kembali mengangkat mereka ke persada kuasa. Tiada hal, ini negara demokrasi. Ditakdirkan mereka kembali berkuasa, keadaannya berbeza. Selepas terima hukuman rakyat nafsunya tentu tak rakus macam dulu lagi.
Semua kebaikan ini akan diterima rakyat jika umat Islam bijak berpolitik. Macam bijaknya orang Cina berpolitik. Dalam hal ini saya bersetuju dengan Dr Ridhuan Tee.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan