UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Bermula 1 November ini, satu kajian keberkesanan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan dilaksanakan di seluruh negara bertujuan memantapkan program itu pada masa hadapan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kajian selama sebulan itu akan melibatkan 5,000 kakitangan termasuk komandan, jurulatih, staf pengurusan dan Kelab Alumni PLKN.
Menurut beliau, kajian yang akan diketuai oleh Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil itu menyasarkan 60,000 responden termasuk kira-kira 6,000 bekas pelatih yang berada di seluruh negara.
"Bagi memastikan kajian ini mencapai matlamatnya, kumpulan sasar yang akan diberikan tumpuan ialah bekas pelatih, ibu bapa atau penjaga kepada bekas pelatih, majikan bekas pelatih, pusat pengajian tinggi, pusat pendidikan kemahiran dan institusi berkaitan serta masyarakat umum," katanya.
Beliau mengumumkan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kelab Kakitangan Awam Kementerian Pertahanan (Kakep) di Padang Sukan Bangunan Zetro di sini hari ini.
Turut hadir memeriahkan majlis itu ialah isteri beliau, Datin Seri Hamidah Khamis.
Ahmad Zahid berkata, objektif pelaksanaan soal selidik itu ialah untuk mengenal pasti sejauh mana pelaksanaan PLKN memberi kesan kepada bekas-bekas pelatih dam masyarakat.
Selain itu, menurutnya, ia bertujuan mendapatkan pandangan masyarakat terhadap PLKN dan seterusnya membantu JLKN merancang bagi penambahbaikan modul-modul program latihan tersebut.
Tambah beliau, apabila laporan kajian itu siap kelak, ia akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri bagi mendapat maklum balas yang sepatutnya termasuk memperkemaskan lagi modul-modul PLKN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan