UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Kritikan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) terhadap kewujudan 50 buah Klinik 1Malaysia di seluruh negara adalah berikutan kebimbangan pendapatan doktor-doktor swasta akan terjejas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, dalam hal ini apa yang lebih penting dan perlu diutamakan oleh kerajaan adalah kebajikan rakyat.
"Tetapi kita akan pastikan ada dialog yang mencukupi antara Menteri Kesihatan (Datuk Seri Liow Tiong Lai) dengan doktor-doktor daripada MMA untuk memastikan mereka tidak terjejas.
"Para doktor ini sebenarnya bimbang mengenai pendapatan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Klinik 1Malaysia Kerinchi di sini hari ini.
Pada pertengahan Disember lalu, Presiden MMA, Dr. David K.L. Quek mengkritik penubuhan Klinik 1Malaysia yang dianggapnya sama dengan klinik di negara dunia ketiga memandangkan ia diuruskan oleh pembantu perubatan dan jururawat.
Dalam kenyataannya beliau menyifatkan ia merupakan tindakan berundur ke belakang oleh sebuah negara yang progresif menjadikannya setaraf dengan negara yang kekurangan doktor.
Menurut Perdana Menteri, doktor-doktor swasta tidak perlu bimbang terhadap sumber pendapatan mereka kerana Klinik 1Malaysia hanya merawat penyakit-penyakit ringan.
Beliau berkata, bagi kes yang serius ia tetap dirujuk kepada klinik swasta atau hospital kerajaan.
Klinik 1Malaysia jelasnya, adalah untuk memudahkan rakyat membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala dengan bayaran yang berada dalam kemampuan semua pihak.
"Jadi, saya tidak anggap ia merupakan situasi menang-kalah sebaliknya ia adalah satu situasi menang-memang.
"Melaluinya rakyat mendapat kemudahan manakala doktor swasta akan terus mendapat pelanggan seperti biasa," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan