HALAMAN SANTAI

Isnin, 18 Januari 2010

GERAK minta SPRM lebih terbuka

MALAYSIA KINI


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa supaya memberi ruang kepada rakyat untuk sedikit sebanyak berkongsi aduan mereka dengan pihak media.

Gesaan tersebut dibuat oleh pengerusi Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi Malaysia (GERAK), Mohd Nazree Mohd Yunus.

"Kita juga bersetuju, laporan kepada SPRM tidak boleh didedahkan kepada media jika bertujuan untuk mengaibkan pihak lain.

"Namun, laporan kepada SPRM juga boleh didedahkan kepada media jika bertujuan untuk memberikan kesedaran pendidikan anti-rasuah terhadap masyarakat," katanya.

Menurutnya, kenyataan SPRM sebelum ini yang tidak membenarkan aduan yang dibuat kepada SPRM didedahkan, akan menyebabkan rakyat akan bimbang untuk melaporkan kepada SPRM.

"Walaupun di bawah seksyen 29(4), Akta BPR 1997 telah menyatakan perkara ini, namun adalah wajar

untuk SPRM memberikan ruang kepada rakyat untuk sedikit sebanyak berkongsi aduan bersama-sama dengan media," tegasnya.

Untuk tujuan itu, katanya, Gerak bersedia memberikan pandangan secara menyeluruh kepada SPRM berkaitan pendekatan membanteras rasuah termasuk mengambil kira perspektif pandangan rakyat.

"Suruhanjaya ini tidak akan berdiri tegak tanpa dukungan rakyat dan media. Kita yakin jika SPRM mempunyai pegawai yang cekap, mereka mampu untuk menyelesaikan kes-kes rasuah walaupun sudah ada hebahan media sebelum ini.

"Kita lihat pada hari ini, kebanyakan kes-kes yang didakwa oleh SPRM ke mahkamah juga adalah hasil daripada hebahan rakyat dan juga media. Kita beranggapan perkara ini semua banyak membantu SPRM," katanya dalam satu kenyataan.

"Kes-kes berprofil tinggi seperti skandal PKFZ, ketirisan pengurusan wang negara melalui laporan Ketua Audit Negara, dakwaan salahguna kuasa setiausaha politik PM, kes banglo Khir Toyo, kehilangan enjin jet, kes akuan bersumpah Bala dan lain-lain lagi kes yang penting, wajib ditangani secara segera oleh SPRM untuk memulihkan imejnya.

"Dalam kes setiausaha politik PM misalnya, sehingga hari ini tidak ada siasatan mula oleh SPRM dilakukan walaupun Parlimen Malaysia telahpun dimaklumkan berkaitan dakwaan salahlaku beliau," katanya sambil menambah perubahan integriti oleh perdana menteri akan dilihat gagal jika masih terdapat lagi individu-individu yang tidak bersih berada disekeliling beliau.

Mohd Nazree berkata, Gerak mengalu-alukan permulaan pendakwaan oleh SPRM dalam kes PKFZ, dan kita kita mahukan agar kes itu dapat diselesaikan sehingga pihak yang benar-benar terlibat didakwa dan diambil tindakan oleh mahkamah.

Dalam perkembangan lain, Gerak mengecam tindakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang tidak bersifat terbuka, sehingga menyebabkan dua pimpinan mahasiswa dan seorang wartawan Harakahdaily ditahan minggu lepas ketika mahu menyampaikan memorandum bantahan penggunaan sistem pengundian elektronik atau e-undi dalam pilihan raya kampus.

"Sewajarnya pihak KPT menerima baik memorandum tersebut dan memaklumkan kepada anggota keselamatan agar tidak mengganggu perhimpunan aman oleh mahasiswa tersebut.

"Bantahan e-undi oleh para mahasiswa IPTA/IPTS wajar diberikan pertimbangan dan ruang perbincangan yang serius.

"Tuduhan menteri pengajian tinggi bahawa mahasiswa yang hadir adalah untuk mencari publisiti menjelang pilihan raya kampus adalah dangkal sama sekali.

"Ini adalah bentuk-bentuk penidakan terhadap agenda membudayakan integriti yang wajar dimulakan secara serius di kampus-kampus termasuk di dalam pilihanraya kampus," katanya.

Tiada ulasan: