HALAMAN SANTAI

Isnin, 4 Januari 2010

Kalimah Allah: Khalid pertahan pendiriannya

UTUSAN ONLINE


SHAH ALAM - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad tetap mempertahankan pendiriannya tidak membantah penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian termasuk dalam penerbitan akhbar Herald-The Catholic Weekly.

Beliau menegaskan, pendirian itu dibuat kerana menyifatkan kalimah tersebut digunakan oleh penganut Islam dan bukan Islam sejak zaman Rasulullah S.A.W.

Menurutnya, Rasulullah tidak pernah menghalang orang bukan Islam menggunakan kalimah itu kerana menyatakan Allah merupakan tuhan sekalian alam termasuk tuhan kepada mereka yang bukan Islam.

Cuma, jelas beliau, kaedah membezakan Allah ialah orang bukan Islam menggunakan nama yang berlainan termasuk kefahaman mereka terhadap sifat-sifat Allah serta menolak Nabi Muhammad S.A.W itu sebagai utusannya.

"Itu yang membezakan antara orang Islam dan bukan Islam, bukannya perkataan Allah. Saya tidak membantah nama Allah digunakan oleh bukan Islam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, Zulkifli Nordin tiada hak memaksanya keluar daripada Pas hanya kerana menyokong penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di negara ini.

Katanya, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu sepatutnya meneliti semula gesaan itu kerana dakwanya Zulkifli juga antara individu yang pernah menyokong penggunaan kalimah berkenaan oleh penganut agama lain sebelum ini.

Malah, katanya, Zulkifli juga tiada sebab menggesa beliau keluar Pas atas alasan tidak selari dengan perjuangan Pas kerana beliau (Zulkifli) ialah Ahli Parlimen mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukannya Pas.

"Saya tidak faham, dia gesa saya keluar Pas sebab sokong penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam sedangkan dia juga menyokong perkara itu sebelum ini.

"Saya tidak tahu motif beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian. Lagi pun, beliau bukannya pemimpin atau ahli Pas," katanya..

Semalam, Zulkifli dalam kenyataannya mendesak Khalid keluar daripada Pas berikutan pendiriannya tidak selari dengan perjuangan Islam yang dibawa oleh parti itu.

Desakan itu dibuat kerana Khalid menyokong keputusan mahkamah Khamis lalu yang membenarkan permohonan akhbar Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya selain menyifatkan kalimah tersebut bukan milik eksklusif umat Islam.

Tegas Zulkifli, tindakan Khalid itu menggalakkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah yang boleh mengelirukan umat Islam.

Tiada ulasan: