HALAMAN SANTAI

Khamis, 7 Januari 2010

Lebih 10,000 bas sekolah haram aktif beroperasi

Oleh S Anand Kumar


KUALA LUMPUR: Lebih 10,000 pemilik kenderaan termasuk van didakwa menjadikan kenderaan persendirian mereka sebagai ‘bas’ sekolah dan beroperasi secara haram tanpa permit sah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (PPBSM) yang mendedahkan perkara itu mendakwa operasi berkenaan semakin serius sejak kebelakangan ini dan bimbang tindakan itu boleh mengancam keselamatan murid dan pelajar sekolah.

Presidennya, Chee Ah Tey, berkata lebih 3,000 ahli kesatuan itu di seluruh negara terus menerima banyak aduan daripada ibu bapa berhubung perkara itu.

Beliau berkata, pengusaha ‘bas’ sekolah haram itu juga menawarkan pakej perkhidmatan berdasarkan jarak dan kawasan sehingga ada yang mengenakan tambang tinggi melebihi RM150.

“Taktik yang digunakan segelintir pengusaha ‘bas’ sekolah haram ini amat licik kerana sebelum menawarkan perkhidmatan, mereka terlebih dulu memantau caj dikenakan bas sekolah di sesuatu kawasan.

“Contohnya, jika bas sekolah beroperasi di kawasan itu, kumpulan ini akan menawarkan tambang lebih rendah, tetapi kadar dikenakan akan tinggi jika khidmat bas sekolah di situ adalah terhad.

“Kita melihat operasi ‘bas’ sekolah haram ini semakin berleluasa dan ada segelintir mereka tidak memberi keutamaan kepada soal keselamatan penumpangnya,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Chee berkata, ‘bas’ sekolah haram ini mudah menjalankan operasi mereka kerana pengangkutan itu tidak perlu menjalani pemeriksaan di Puspakom seperti dilalui bas sekolah.

“Mereka juga mudah melepasi pasukan berkuasa kerana menyangka murid atau pelajar yang berada dalam kenderaan itu adalah anak mereka atau anak jiran.

“Segelintir mereka juga tidak menghiraukan keselamatan penumpang kerana adakalanya pemandu tidak memakai tali pinggang keledar dan penumpang pula membuka tingkap sambil menghulur kepala atau tangan ke luar,” katanya.

Chee berkata, pihaknya berharap pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan LPKP melancarkan operasi bagi mengesan perkhidmatan ‘bas’ haram itu.

Tiada ulasan: