HALAMAN SANTAI

Isnin, 18 Januari 2010

Mafrel pantau pilihan raya kampus

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Badan Pemantau Pilihanraya Adil dan Bebas (Mafrel) dijangka akan menjalankan pemantauan terhadap perjalanan Pilihan Raya Kampus (PRK) yang dijadualkan pada 28 Januari ini.

Jurucakap Gabungan Mahasiswa Bantah E-Undi (Bantah) , Mohd Ridzuan Othman meberitahu, pihak badan bebas Mafrel itu telah bersetuju memantau perjalanan pilihanraya kampus pada kali ini.

"Pihak Bantah juga ingin menegaskan bahawa hasil daripada kesepakatan bersama dengan pihak Mafrel, Mafrel bersetuju untuk menjadi badan bebas untuk memantau perjalanan pilihanraya kampus pada kali ini," katanya dalam satu kenyataan.

Harakahdaily bagaimanapun dalam usaha menghubungi pihak Mafrel berhubung perkara itu.

Mohd Ridzuan juga berkata, Bantah akan memantau sistem pengundian berkomputer (e-undi) yang telah dijalankan di Universiti Islam Antarabangasa Malaysia (UIAM) agar tidak dimanipulasi oleh ‘tangan-tangan ghaib’ yang akan mencalarkan sistem demokrasi kampus.

"Bantah akan memastikan bahawa perjalanan pilihanraya kampus pada kali ini tidak ada sebarang keraguan terhadap undi mahasiswa dan seterusnya memastikan kesuburan demokrasi kampus terus mewarnai landskap universiti di Malaysia ini,"katanya lagi.

Bantah tegasnya akan terus menentang dan mendesak pemansuhan sistem e-undi ini kerana ketelusan dan integriti pihak yang menyelenggara sistem ini amat diragui.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebelum ini mengumumkan akan melaksanakan e-undi di beberapa kampus universiti awam, dan terbaru di UM.

Kaedah e-undi mula diperkenalkan di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2003 dan kemudian di UIA) yang turut mendapat bantahan daripada beberapa gabungan mahasiswa.

Kumpulan pelajar UPM pernah memulaukan pilihan raya kampus mereka selama dua tahun berturut-turut pada 2005 dan 2006 akibat pelaksanaan e-undi.

Sebelum ini, pelbagai cara telah dilakukan bagi membantah sistem yang didakwa tidak telus ini termasuk mengadakan forum di UM dan menghantar memorandum ke KPT di Putrajaya.

Selain Bantah, turut menyokong pemansuhan e-undi adalah kumpulan Pro-Mahasiswa (Pro-M) di seluruh kampus.

Dalam perkembangan sama, kumpulan Pro-Mahasiswa (Pro-M) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah berjaya memenangi 11 daripada 12 kerusi yang dipertandingkan pada PRK yang diadakan di universiti itu semalam.

Manakala musuh kepada kumpulan itu iaitu kumpulan Akasia hanya memenangi satu kerusi sahaja.

Dengan kemenangan itu, mereka akan menguasai kabinet Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) untuk sesi kali ini.

Tiada ulasan: