HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 Januari 2010

MB kena umum status ekonomi

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH


ALOR SETAR - Kerajaan Kedah dicabar membuktikan dengan fakta mengenai keadaan semasa ekonomi negeri yang dikatakan baik bagi membolehkan rakyat membuat penilaian mengenai kemampuan pentadbiran pakatan pembangkang.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak antaranya diminta mengumumkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kedah pada masa ini dan jumlah pelaburan asing yang masuk serta berapa banyak kilang sudah beroperasi.

Pengerusi Majlis Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) negeri, Datuk Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail turut mendesak didedahkan jumlah simpanan yang masih berada dalam akaun kerajaan negeri untuk menentukan sama ada semakin bertambah atau susut.

"Buktikan semua itu baru rakyat akan yakin ekonomi Kedah masih berada dalam keadaan baik," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azizan dalam laporan sebuah akhbar hari ini berkata, dakwaan bahawa ekonomi negeri ini semakin mundur di bawah pentabdiran pakatan pembangkang bersifat provokatif untuk mengelirukan pandangan rakyat terhadap pimpinan kerajaan negeri.

Menteri Besar itu berkata, kenyataan itu juga dibuat secara melulu tanpa mengetahui perkembangan yang berlaku di negeri ini.

Ku Abd. Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak berkata, komuniti perniagaan sedang resah dan rata-rata mereka bercakap mengenai kelembapan ekonomi negeri ini.

Menurutnya, kitaran ekonomi di Kedah semakin perlahan dan ramai peniaga tidak tahan dengan keadaan sekarang, malah ada yang terpaksa menutup perniagaan akibat menanggung kerugian.

Tambah beliau, Azizan sepatutnya malu apabila memberikan contoh pembangunan kampus Kolej Universiti Insaniah (Kuin) dengan kos RM380 juta serta projek pertanian dan perumahan sebagai petunjuk perkembangan ekonomi negeri.

"Saya ingin tegaskan bahawa kampus Kuin, projek pertanian dan pembinaan bandar baru Pokok Sena semuanya adalah hasil perancangan ketika Barisan Nasional (BN) memerintah Kedah.

"Kerajaan negeri sekarang hanya menjenamakan semula dan mendakwa itu semua projek mereka," katanya.

Tambah beliau, jika ekonomi Kedah berterusan malap seperti sekarang, negeri ini akan terus mundur manakala rakyat akan dihimpit kesusahan kerana ketiadaan peluang pekerjaan dan perniagaan.

Tiada ulasan: